Pages

Thursday 23 February 2012

Kajian Teks & Analisis Surah Al-Hujurat (Ayat 11-13) berdasarkan Tafsir Al-Azhar HAMKA


1.0       Mukaddimah


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى
 آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين.

Segala puji bagi Allah Tuhan yang mecipta sekalian alam, yang telah berfirman di dalam kitabNya yang mulia:
سورة النور
بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
وَلَقَدْ أَنزَلْنَا إِلَيْكُمْ آيَاتٍ مُّبَيِّنَاتٍ وَمَثَلًا مِّنَ الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلِكُمْ وَمَوْعِظَةً لِّلْمُتَّقِينَ ﴿٣٤﴾
Maksudnya: Dan sesungguhnya, Kami telah menurunkan kepada kamu, ayat-ayat keterangan yang menjelaskan (hukum-hukum suruh dan tegah) dan contoh tauladan (mengenai kisah-kisah dan berita) orang-orang yang telah lalu sebelum kamu, serta nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. [Surah Al-Nur 34]

Begitulah Friman Allah SWT yang telah menukilkan kisah-kisah dalam Al Qur’an adalah sebenar-benarnya kisah. Berdasarkan firman Allah Ta’ala dalam ayat 34 surah Al-Nur di atas Allah SWT telah mengangkat kisah-kisah kaum yang terdahulu untuk kita mengambil iktibar. Kisah-kisah dalam Al Qur’an terbahagi menjadi tiga perspektif:

Pertama: Kisah-kisah para Nabi dan Rasul, dan apa saja yang terjadi antara mereka dengan orang-orang yang beriman dan orang-orang yang kafir.

Kedua: Kisah-kisah sejumlah orang atau kelompok. Terdapat beberapa peristiwa yang mengandung pelajaran dari apa yang mereka alami. Allah Ta’ala menceritakan kisah mereka, seperti kisah Maryam, Luqman, Dzulqarnain, Firaun, Qaaruun, pemuda Al-Kahfi, tentara gajah, orang-orang yang dilemparkan ke dalam parit api dan kisah-kisah lainnya.
Ketiga: Kisah-kisah yang terjadi pada zaman Nabi SAW, misalnya kisah perang Badar, Uhud, Ahzab, Bani Quraizhah, Bani Nadhir, kisah Zaid bin Haritsah, Abu Lahab dan lain-lainnya.

Pengetahuan dan peradaban yang terkandung di dalam Al-Quran adalah ilmu pengetahuan yang bersifat multi-dicipline yang melibatkan akal dan kalbu manusia dalam perolehannya[1]. Ini kerana kisah-kisah tersebut pasti sesuai dengan dan relevan sepanjang zaman.Justeru itu kisah-kisah tersebut merupakan kisah-kisah terbaik untuk kita jadikan pedoman dan tauladan. Semoga kita dapat meningkatkan iman serta dapat memperbaiki hati, amal dan akhlak. Insyaallah. 

1.1       Kaedah Kajian Teks Dan Analisis Surah Al-Hujurat Ayat 11-13 

Dalam membuat kajian teks dan analisis surah Al-Hujurat ayat 11-13 ini, kumpulan kami telah mengambil bahan-bahan bacaan yang terdiri daripada pendapat para ahli mufasir yang terdapat dari buku-buku, journal, dan bahan-bahan yang secara lazimnya istilah ini dikenali sebagai “library research” ataupun “desk research” iaitu pengambilan data yang berasal dari buku-buku atau karya ilmiah di bidang tafsir dan pendidikan khususnya pendidikan akhlak, yang terdiri dari sumber primer dan sekunder.

 

1.2       Sumber

Sumber primer dalam dalam kajian dan analisis ini adalah tafsir Al-Quran surah al-Hujurat ayat 11-13; dan Tafsir Al-Azhar oleh HAMKA. Manakala sumber sekundernya adalah buku-buku berkenaan dengan ulum tafsir dan pendidikan akhlak yang relevan dengan thema pembahasan di dalam ayat 11-13 surah Al-Hujurat ini.

1.3       Biodata HAMKA

HAMKA merupakan akronim pertama atau singkatan kepada nama asal penulis iaitu Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA). Nama tersebut diberikan oleh ayahnya sempena nama anak lelaki gurunya; Syeikh Ahmad Khatib di Mekah. Proses penyingkatan nama beliau adalah disebabkan oleh aktiviti beliau dalam bidang penulisan yang bertujuan untuk memudahkan masyarakat mengenalinya. HAMKA dilahirkan pada malam Isnin tanggal 14 Muharam 1326 H bersamaan 17 Februari 1908 di Kampung Tanah Sirah, Negeri Sungai Batang Maninjau, Minangkabau, Sumatera Barat.

Keaktifan beliau dalam bidang penulisan bermula setelah beliau kembali dari kembara ilmiah di Tanah Jawa sehingga beliau menjadi pemimpin di tempat asalnya. Kesemua hasil karya HAMKA yang berjumlah 118 buah yang merangkumi bidang agama, novel dan ilmiah tidak termasuk aritikel-artikel beliau dalam Majalah Panji Masyarakat. Hasil karya termasyhur beliau adalah Tafsir Al-Azhar yang menjadi saluran dakwah kepada masyarakat pada ketika itu.  Beliau menulis tafsir Al-Azhar ketika dipenjarakan pada 1964–1966 oleh Bung Soekarno iaitu Presiden Indonesia ketika itu. Berikut adalah antara senarai karya-karya beliau iaitu : Khatib Ummah, Si Sabariyah, Rengkasan Tarikh Umat Islam, Pembela Islam (Riwayat Abu Bakar), Sejarah Minangkabau dengan Ugama Islam (diharamkan oleh Belanda), Ugama dan Perempuan, Kepentingan Bertabligh, Leila Majnun dan lain-lain lagi[2]

1.5       Metodologi Penulisan Tafsir Al-Azhar HAMKA

Dalam penulisan Tafsir Al-Azhar, HAMKA menggunakan kaedah pentafsiran yang menepati syarat-syarat pentafsiran Al-Quran yang digariskan oleh para ulama’ tafsir. Beliau menyatakan metod pentafsiran yang digunakan pada bahagian pendahuluan kitab tafsir tersebut iaitu di bawah tajuk kecil, Haluan Tafsir’[3]. Setelah penelitian dilakukan, HAMKA didapati menggunakan kaedah berikut untuk mentafsirkan Al-Quran:

a)    Tafsir Al-Quran dengan Al-Quran
HAMKA didapati mengaplikasikan kaedah ini dalam mentafsirkan ayat Al-Quran sebagaimana ulama’ tafsir yang lain iaitu sumber yang ma’thur. Namun, tidak kesemua ayat Al-Quran ditafsirkan dengan metode tersebut. Penggunaan metode tersebut dapat dilihat ketika beliau mentafsirkan ayat –ayat 11 hingga 13, surah AL-Hujurat yang akn diliht berikut ini.

b)    Tafsir Al-Quran dengan Al-Hadith
HAMKA turut tidak meninggalkan metode kedua terpenting dalam pentafsiran Al-Quran dengan Al-Hadis yang mana hadis merupakan sumber kedua syariah selepas Al-Quran. Penggunaan metode ini dapat dikesan dalam pentafsiran  ayat-ayat Surah Al-Hujurat ini.

c)    Pendapat Tabi’in
Adakalanya HAMKA juga akan memasukkan pendapat-pendapat tabi’in bagi menyokong ulasan beliau terhadap tafsiran ayat-ayat Al-Quran. Antara tafsiran ayat Al-Quran yang mengandungi metode ini ialah tafsiran terhadap ayat 65 surah al-Naml :

Maksudnya: “Katakanlah Hai Utusan Kami “Tidak ada seorang pun di semua langit dan bumi yang mengetahui yang ghaib kecuali Allah. Dan tidak pula ada mereka yang menyedari bila mereka akan dibangkitkan.

Ayat tersebut menerangkan tentang pengetahuan terhadap perkara ghaib hanya diketahui oleh Allah sahaja. Dalam hal ini, HAMKA membawakan pendapat seorang tabi’in iaitu Qatadah tentang kedudukan orang-orang yang mempercayai ilmu bintang atau Astrologi. Menurut Qatadah sekiranya seseorang itu menyalahgunakan faedah Allah menjadikan bintang-bintang (perhiasan, petunjuk dan panahan terhadap syaitan) maka kedudukannya adalah sesat.

d)    Pengambilan Riwayat dari Kitab Tafsir Muktabar
HAMKA turut merujuk kitab-kitab tafsir yang lain dalam pentafsiran beliau. Antaranya Tafsir al-Manar karangan Sayyid Rasyid Reda, Mafatih al-Ghayb karangan al-Razi dan lain-lain lagi. Ini menunjukkan bahawa beliau tidak terikat kepada satu bahan sahaja tetapi pelbagai jenis bahan bagi memastikan ketepatan dan kesesuaian tafsiran beliau agar tidak lari terlalu jauh. Sebagai contoh, dibawakan tafsiran beliau terhadap ayat 82 dari surah Al-Naml. Firman Allah Ta’ala:

Maksudnya: Dan apabila sabda telah jatuh atas mereka, Kami keluarkanlah sejenis binatang melata dari bumi yang akan mengatakan kepada mereka bahawa sesungguhnya manusia pernahlah tidak yakin kepada ayat-ayat Kami.

Dalam ayat tersebut, diterangkan bahawa apabila telah datang masanya kelak, akan berlaku suatu perkara di kala manusia sudah lupa dan lalai terhadap agamnya di mana akan keluar dari dalam bumi semacam binatang yang disebut sebagai dabbah yang bermaksud binatang melata yang merangkak.

HAMKA membawakan tafsiran Al-Razi tentang pelbagai pentafsiran dabbah iaitu 5 keadaan berdasarkan pelbagai riwayat. Beliau juga turut membawa tafsiran Ibn Kathir dalam kitab Tafsir al-Quran al-Azim mengenai perkara yang sama.


e)    Penggunaan Syair
HAMKA dikenali sebagai pujangga Islam dan sasterawan. Oleh yang demikian, beliau turut memasukkan unsur-unsur syair dalam ulasan terhadap ayat-ayat Al-Quran. Syair-syair tersebut sama ada nukilan beliau sendiri ataupun nukilan sasterawan Islam yang lain seperti Iqbal. Namun, kekerapan beliau menggunakan syair-syair dalam ulasan beliau amat sedikit. Antara ayat-ayat Al-Quran yang beliau gunakan syair sebagai penerangan lanjut dalam ulasan beliau ialah pentafsiran ayat Surah Al-Hujurat yang akan dibincangkan ini.



2.0       Pengenalan Surah Al-Hujurat (Kamar-Kamar)


سورة الحجرات
بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيِ اللَّـهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ﴿١﴾ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَرْفَعُوا أَصْوَاتَكُمْ فَوْقَ صَوْتِ النَّبِيِّ وَلَا تَجْهَرُوا لَهُ بِالْقَوْلِ كَجَهْرِ بَعْضِكُمْ لِبَعْضٍ أَن تَحْبَطَ أَعْمَالُكُمْ وَأَنتُمْ لَا تَشْعُرُونَ ﴿٢﴾ إِنَّ الَّذِينَ يَغُضُّونَ أَصْوَاتَهُمْ عِندَ رَسُولِ اللَّـهِ أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ امْتَحَنَ اللَّـهُ قُلُوبَهُمْ لِلتَّقْوَىٰ ۚ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ عَظِيمٌ ﴿٣﴾ إِنَّ الَّذِينَ يُنَادُونَكَ مِن وَرَاءِ الْحُجُرَاتِ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ ﴿٤﴾ وَلَوْ أَنَّهُمْ صَبَرُوا حَتَّىٰ تَخْرُجَ إِلَيْهِمْ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُمْ ۚ وَاللَّـهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٥﴾ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ ﴿٦﴾ وَاعْلَمُوا أَنَّ فِيكُمْ رَسُولَ اللَّـهِ ۚ لَوْ يُطِيعُكُمْ فِي كَثِيرٍ مِّنَ الْأَمْرِ لَعَنِتُّمْ وَلَـٰكِنَّ اللَّـهَ حَبَّبَ إِلَيْكُمُ الْإِيمَانَ وَزَيَّنَهُ فِي قُلُوبِكُمْ وَكَرَّهَ إِلَيْكُمُ الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ ۚ أُولَـٰئِكَ هُمُ الرَّاشِدُونَ ﴿٧﴾ فَضْلًا مِّنَ اللَّـهِ وَنِعْمَةً ۚ وَاللَّـهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ ﴿٨﴾ وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا ۖ فَإِن بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَىٰ فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّىٰ تَفِيءَ إِلَىٰ أَمْرِ اللَّـهِ ۚ فَإِن فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا ۖ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ ﴿٩﴾ إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴿١٠﴾ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ﴿١١﴾ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ ﴿١٢﴾ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿١٣﴾ قَالَتِ الْأَعْرَابُ آمَنَّا ۖ قُل لَّمْ تُؤْمِنُوا وَلَـٰكِن قُولُوا أَسْلَمْنَا وَلَمَّا يَدْخُلِ الْإِيمَانُ فِي قُلُوبِكُمْ ۖ وَإِن تُطِيعُوا اللَّـهَ وَرَسُولَهُ لَا يَلِتْكُم مِّنْ أَعْمَالِكُمْ شَيْئًا ۚ إِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿١٤﴾ إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّـهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ أُولَـٰئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ ﴿١٥﴾ قُلْ أَتُعَلِّمُونَ اللَّـهَ بِدِينِكُمْ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۚ وَاللَّـهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ ﴿١٦﴾ يَمُنُّونَ عَلَيْكَ أَنْ أَسْلَمُوا ۖ قُل لَّا تَمُنُّوا عَلَيَّ إِسْلَامَكُم ۖ بَلِ اللَّـهُ يَمُنُّ عَلَيْكُمْ أَنْ هَدَاكُمْ لِلْإِيمَانِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ ﴿١٧﴾ إِنَّ اللَّـهَ يَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ وَاللَّـهُ بَصِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ ﴿١٨﴾

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (1) Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya. (2) Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya semasa mereka berada di sisi Rasulullah s.a.w, merekalah orang-orang yang telah dibersihkan Allah hati mereka untuk bertakwa; mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar. (3) Sesungguhnya orang-orang yang memanggilmu dari luar bilik-bilik (tempat ahlimu, wahai Muhammad), kebanyakan mereka tidak mengerti (adab dan tata tertib). (4) Dan kalaulah mereka bersabar menunggu sehingga engkau keluar menemui mereka, tentulah cara yang demikian lebih baik bagi mereka dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (5) Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (6) Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta di perhiaskannya dalam hati kamu dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: Perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus. (7) (Mereka dijadikan berkeadaan demikian) sebagai limpah kurnia dan nikmat pemberian dari Allah dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (8) Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah Allah; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (9) Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (10) Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (11) Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (12) Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (13) Orang-orang "A`raab" berkata: Kami telah beriman. Katakanlah (wahai Muhammad): Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: Kami telah Islam dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (14) Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya). (15) Katakanlah (kepada orang-orang "A`raab" itu wahai Muhammad): Patutkah kamu hendak memberitahu kepada Allah tentang agama kamu (dengan berkata: Kami telah beriman)? Padahal Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (16) Mereka mengira dirinya berbudi kepadamu (wahai Muhammad) dengan sebab mereka telah Islam (tidak melawan dan tidak menentang). Katakanlah (kepada mereka): Janganlah kamu mengira keislaman kamu itu sebagai budi kepadaku, bahkan (kalaulah sah dakwaan kamu itu sekalipun maka) Allah jualah yang berhak membangkit-bangkitkan budiNya kepada kamu, kerana Dialah yang memimpin kamu kepada iman (yang kamu dakwakan itu), kalau betul kamu orang-orang yang benar (pengakuan imannya). (17) Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia langit dan bumi dan Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan. (18)


2.1       Penamaan Surah Al-Hujurat

Surah Al-Hujurat di atas terdiri daripada 18 ayat dan ia tergolong daripada surah-surah Madaniyah. Surah Al-Hujurat ini diturunkan sesudah surah Al-Mujaadilah. Dinamakan ‘Al-Hujurat’ iaitu bermaksud ‘kamar-kamar’, bersempena dengan kalimah yang terdapat pada ayat ke-4 dalam surah ini[4]. Ayat tersebut mencela para sahabat yang memanggil Nabi Muhammad SAW yang sedang berada di dalam kamar rumahnya bersama isteri Baginda SAW. Para sahabat memanggil Nabi Muhamad SAW dengan cara dan dalam keadaan yang demikian menunjukkan sifat kurang hormat dan mengganggu ketenteraman Baginda SAW. Sebagaimana Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ يُنَادُونَكَ مِن وَرَاءِ الْحُجُرَاتِ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ ﴿٤﴾
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang memanggilmu dari luar bilik-bilik (tempat ahlimu, wahai Muhammad), kebanyakan mereka tidak mengerti (adab dan tata tertib).



2.2       Isu-Isu Penting Dalam Surah Al-Hujurat

Di dalam surah Al-Hujurat ini, terdapat beberapa isu-isu yang telah dikemukakan oleh Allah SWT iaitu:

a.    Keimanan
Memeluk Islam haruslah disempurnakan dengan iman yang sebenar-benarnya

b.    Hukum-hukum
                                      i.        Larangan mengambil keputusan yang menyimpang dari ketetapan Allah SWT dan RasulNya
                                     ii.        Keharusan meneliti sesuatu perkhabaran yang disampaikan oleh orang-orang yang fasik
                                    iii.        Kewajiban mengadakan islah antara orang muslim yang bersengketa kerana orang-orang Islam adalah bersaudara
                                   iv.        Kewajiban mengambil tindakan terhadap golongan kaum muslimin yang menganiya golongan muslimin yang lain
                                    v.        Larangan mencaci, mengumpat dan menghina sesama manusia
                                   vi.        Larangan berburuk sangka dan mencari kesalahan orang lain dengan tujuan membuka keaiban orang tersebut
                                  vii.        Larangan memfitnah orang lain

c.    Isu-isu Lain.
                                      i.        Adab sopan berbicara dengan Rasulullah SAW
                                     ii.        Allah menciptakan manusia dengan bersuku-suku, berbangsa-bangsa untuk kenal-mengenal di antara satu sama lain
                                    iii.        Setiap manusia adalah sama disisi Allah
                                   iv.        Kelebihan orang-orang yang bertaqwa
                                    v.        Sifat-sifat orang-orang yang benar-benar beriman




2.3       Kolerelasi Diantara Surah Al-Hujurat Dengan Surah Al-Fat’h dan Al-Surah Al-Qaaf

Surah Al-Hujurat tersusun diantara Surah Al-Fat’h dan Surah Al-Qaaf.  Pada akhir Surah Al-Fat’h dijelaskan bagaimana sifat-sifat orang yang telah beriman yang memegang teguh ajaran Nabi Muhammad SAW.  Mereka bersikap tegas terhadap orang kafir yang mengingkari Nabi Muhammad SAW dan sebaliknya berkasih sayang sesama Islam.  Ini menunjukkan perpaduan sesama Islam disandarkan kepada adalah berteraskan akidah semata-mata.  Selepas itu datanglah surah Al-Hujurat yang menerangkan tentang peraturan dan adab sopan yang mesti diikuti oleh orang-orang beriman.  Surah berikutnya iaitu Al-Qaaf pula yang diturunkan di Mekah mengingatkan kita kembali tentang adanya kiamat dan hari pembalasan.  Segala perlakuan di dunia ini akan dihisab oleh Allah dan diberi pembalasan.  Disebutkan juga bagaimana tahap keimanan orang-orang Arab Badwi yang sebenarnya belum mantap. Pada awal surah Al-Qaaf disebutkan beberapa sifat orang kafir yang mengingkari kenabian dan hari kebangkitan[5].  Surah Al-Hujurat lebih menguraikan soal-soal duniawi manakala surah Al-Qaaf lebih banyak menguraikan tentang ukhrawi.

3.0       Analisis Ayat-Ayat 11-13

3.1       Ayat 11 Surah Al-Hujurat


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ﴿١١﴾
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman seperti yang terdapat pada pangkal ayat “Wahai orang yang beriman…..”  Ayat ini menerangkan tentang etika kehidupan orang-orang yang beriman.  Etika ini adalah dalam bentuk peringatan daripada Allah SWT kepada orang-orang yang beriman supaya sesuatu kaum ynag beriman itu tidak mengolok-olokkan kaum beriman yang lain seperti dinyatakan dalam ayat kedua yang bermaksud,”Janganlah sesuatu kaum mengolok-ngolokkan kaum yang lain.” Ini adalah kerana ada kemungkinan kaum beriman yang diperolok-olokkan itu adalah lebih baik daripada mereka yang memperolok-olokkan itu.

Peringatan ini disampaikan dengan cara yang halus tetapi tepat.  Orang yang beriman seharusnya sentiasa muhasabah diri untuk melihat kekurangan pada dirinya. Orang yang tidak beriman sahaja yang boleh menghina orang lain kerana mereka menganggap diri mereka sempurna. Dengan demikian, tidak mungkin orang beriman boleh merendah-rendahkan saudara sesama Islam yang lain.

Seterusnya ayat berikut pula yang bermakna,” Dan jangan pula wanita-wanita mengolok-olokkan wanita yang lain; kerana boleh jadi yang diperolok-olokkan itu lebih baik dari mereka (yang memperolok-olokkan). Ayat ini mengingatkan pula kaum wanita supaya tidak melakukan perkara yang sama iaitu merendah-rendahkan wanita lain yang beriman.  Larangan ini tidaklah terbatas kepada lelaki yang beriman sahaja.  Pentafsir menjelaskan lagi keterangan ayat–ayat ini dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang berbunyi seperti berikut:

Kesombongan itu ialah menolak kebenaran dan memandang rendah manusia.”

Berdasarkan hadis ini mesej yang hendak disampaikan ialah perlakuan memperolok dan merendahkan orang lain itu adalah sikap orang yang sombong.  Orang sombong merasa diri mereka sempurna dan tiada cacat celanya.  Maka itu mereka tidak akan dapat menyedari kekurangan mereka sedangkan sebenarnya merekalah yang punya banyak kelemahan dan kekurangan.
Ayat berikutnya yang bermaksud,” Dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri.”  Ayat-ayat sebelum ini melarang keras orang beriman mencela orang beriman yang lain sedangkan ayat ini menekankan tentang pencelaan diri sendiri yang juga turut dilarang.  Mengikut pentafsir perbuatan mencela dan mengaibkan orang lain itu akan mengakibatkan orang yang dicela dan diaibkan itu mencela dan mendedahkan keaiban mereka yang mencela pula sebagai tindak balas.  Maka perbuatan mengaibkan orang lain itu samalah  seperti mengaibkan diri sendiri.
Pentafsir seterusnya menjelaskan pula balasan bagi golongan ini dengan ayat al-Quran berikut:

Neraka wailun buat setiap orang yang suka mencedera orang dan mencela orang.” ( Surah 104. Al-Humazah : 1).

Humazah diertikan sebagai mencedera iaitu memukul dengan tangan sedangkan Lumazah pula membawa makna mencela, iaitu degan mulut.  Humazah juga diartikan dengan sikap hidup yang tidak senang diam kerana sibuk menjaga tepi kain orang .  Jika umpatan dan celaan itu ternyata fitnah dan tidak benar maka mereka tergolong orang yang fasiq seperti dalam ayat 6 sbelum ini.

Ayat seterusnya juga berkaitan dengan celaan iaitu memanggil orang lain dengan nama yang buruk seperti terjemahan berikut:

Dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar yang buruk.”  Pentafsir memberi contoh mengenai kebiasaan orang Arab Jahiliyyah yang gemar memberi gelaran kepada seseorang mengikut perangai orang tersebut seperti gelaran yang diberikan kepada Zaid yang gemar kepada kuda kenderaan yang indah.  Maka Zaid digelar Zaid Al Khail iaitu Zaid Kuda.  Nabi SAW menukarnya kepada Zaid Al-Khair iaitu Zaid Baik!.  Nabi SAW menyarankan kepada orang-orang jahilliyah supaya menukar nama kepada gelaran yang baik setelah mereka beriman.  Dalam konteks masa kini, pentafsir memberi contoh keadaan yang sama iaitu apabila seorang kafir itu memeluk Islam ada baiknya ia menukar namanya kepada nama yang baik, walaupun tidak wajib.  Pentafsir juga telah memberikan contoh panjang lebar mengenai masyarakat Islam Indonesia yang gemar memberi gelaran nama yang tidak baik dan mengaibkan.  Contoh-contoh yang diberikan adalah lebih kurang sama dengan apa yang terjadi dalam masyarakat Islam Melayu di Malaysia.

Ayat 11 ini diakhiri dengan ayat yang bererti:

Dan barangsiapa yang tidak taubat, maka itulah orang-orang yang aniaya.

Penggantian nama yang buruk ketika fasiq kepada yang baik setelah beriman adalah petanda baik sejak awal lagi.  Pentafsir turut memberi satu contoh iaitu tuntutan berkhitan atau bersunat bagi orang yang baru masuk Islam, walaupun ia tidak wajib.  Namun dengan bersunat itu dia telah mengikuti sunnah semua Rasul  sebagai ujian permulaan menerima Islam.  Orang beriman yang telah fasiq diingatkan supaya bertaubat. Ini adalah jalan penyelesaian bagi mereka kerana Allah SWT itu Maha Mengasihanidan Maha Penerima Taubat.  Orang yang enggan bertaubat diingatkan pula bahawa mereka  akan menganiaya diri mereka sendiri.


3.2       Ayat 12 Surah Al-Hujurat


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ ﴿١٢﴾

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.


Pangkal ayat 12 yang terjemahannya berbunyi, Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka.”  Pentafsir mendefinisikan perasangka sebagai tohmahan yang tidak berasas langsung.  Dalam ayat ini Allah memerintahkan supaya orang beriman menjauhi kebanyakan perasangka, Kerana sebahagian daripada prasangka  itu adalah dosa.”  Prasangka boleh memutuskan silaturrahim antara dua manusia.  Pentafsir memberi contoh seorang yang tidak mencuri dituduh mencuri.  Bayangkan bagaimana kredibilitinya telah terjejas dengan tuduhan itu sedangkan dia tahu dia tidak bersalah.  Akibatnya sudah pasti dia akan membenci orang yang memfitnahnya.

Pentafsir seterusnya mengemukakan lima hadis Nabi mengenai perkara ini untuk menjelaskan lagi keburukan prasangka ini seperti berikut:

Sekali-kali janganlah kamu berburuk sangka, kerana sungguh buruk sangka adalah perkataan yang paling bohong.  Dan janganlah kamu mengintai-intai, dan janganlah kamu merisik-risik, dan janganlah kamu berganding-gandingan, dan janganlah kamu berdengki-dengkian dan janganlah kamu berbenci-bencian dan janganlah kamu berbalik belakangan, dan jadilah kamu seluruh hamba Allah bersaudara.” ( HR Bukhari, Muslim dan Abu Daud ).

Hadis ini memberi perincian tentang perbuatan-perbuatan yang membawa kepada buruk sangka yang boleh memecah belahkan umat sedangkan sepatutnya orang beriman semuanya bersaudara.

Hadis berikutnya menjatuhkan hukuman tidak halal iaitu haram bagi seorang Islam menjauhi saudaranya atau tidak bertegur sapa lebih dari tiga hari,.  Sabda Rasulullah:  

HR Tidaklah halal bagi seorang Islam untuk menjauhi saudaranya lebih dari tiga hari.” (Muslim ).

Buruk sangka juga boleh menimbul krisis seperti yang sabda Nabi SAW berikut:

“Tiga macam membawa krisis bagi umatku, memandang kesialan, dengki dan buruk sangka.” ( HR At-Tabarani ).
Pentafsir seterusnya menjelas dengan panjang lebar implikasi jika pemerintah suka buruk sangka terhadap rakyat dengan mengupas hadis-hadis berikut:

Apabila engkau buntuti aurat manusia ( kesalahan-kesalahan mereka ), nescaya engkau telah merosakkan mereka atau nyarislah engkau merosakkan mereka.”
(HR Abu Daud ).

“Sesungguhnya seorang pemegang pemerintah apabila dia telah suka menaruhkan ragu-ragu kepada manusia, nescaya dirosakkannyalah manusia itu.”
( HR Abu Daud ).

HAMKA telah memberikan tumpuan yang lebih kepada hal yang bersangkutan dengan pemerintah ini kerana implikasinya sangat luas dan boleh merosakkan Negara.  Pemerintah yang sering mempunyai prasangka yang buruk (HAMKA menggunakan istilah cemburu disini) terhadap rakyat akan menubuhkan banyak badan penyelidik atau yang di zaman modern ini dipanggil ‘inteligent’.  Menurut Nabi SAW keadaan ini akan mengakibatkan penyebaran cemburu atau buruk sangka di kalangan rakyat.  Apabila keadaan ini telah berleluasa maka rakyat akan berada dalam ketakutan kerana adanya tajasasu yang bererti mengintip-ngintip dan tahasasu atau badan yang merisik-risik atau meraba-raba untuk mencari kesalahan.  Semakin lama semakin ramai orang yang merisik-risik ini dan mereka diberi pula penghormatan dan pujian kerana mendedahkan kesalahan orang.  Akibatnya rakyat menjadi semakin takut dan pemerintah juga semakin cemas kerana banyak kes yang timbul yang belum tentu betul atau salahnya dan banyak pula penangkapan.  Akhirnya rakyat  dan pemerintah saling tidak percaya mempercayai.  Pada peringkat ini akan rosaklah negara kerana banyak masa, tenaga dan sumber lain digunakan untuk menjalankan aktiviti yang tidak produktif bahkan merugikan.  Inilah yang dikatakan Rasulullah sebagai Afsadat-hum yang bermaksud ‘pemerintah sendiri yang merosakkan rakyat.’

Ayat seterusnya membawa maksud,’ Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain.’  Berhubung ayat ini HAMKA menjelaskannya dengan memberi contoh keadaan politik negara komunis.  Pihak pemerintah akan mendapatkan dan menyimpan semua maklumat peribadi termasuk sejarah hidup seseorang itu sama ada yang baik dan yang buruk.  Pencarian maklumat ini dibuat melalui perisikan dan taktik yang kotor.  Apabila orang itu diperlukan Negara atau atas kepentingan politik maka sejarah hidupnya yang baik seperti jasa-jasanya, sifat-sifatnya yang terpuji dan sebagainya akan didedahkan kepada rakyat.  Sebaliknya, apabila dia tidak lagi diperlukan atas apa jua sebab maka sejarah hidupnya yang hitam, sifat-sifatnya yang tercela dan sebagainya  akan digunakan untuk mengaibkannya di muka ramai dan akhirnya menyingkirkannya.  Inilah yang dinamakan ugutan atau black mail.
   
Ayat seterusnya bererti ,’Dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yang lain.’  Menggunjing diertikan sebagai membicarakan aib dan keburukan seseorang sedang orang itu tidak hadir pada masa itu.  Maka tidak berpeluanglah orang itu membela dirinya.  Perlakuan ini sering berlaku di kalangan masyarakat Islam khususnya masyarakat Melayu.  Sifat ini sangat tercela di sisi Allah seperti yang digambarkan dalam ayat berikutnya yang bererti,’  Sukakah seorang kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati?”. Begitulah umpamanya orang yang suka mencela orang lain di belakang orang tersebut iaitu umpama memakan daging saudara kita yang sudah mati.  Sudah tentu amat menjijikkan dan begitulah hinanya sipenggunjing itu!.  Ayat seterusnya menggambarkan kehinaan ini iaitu, “Tentulah kamu merasa jijik kepadanya ‘’.

Pentafsir seterusnya mengingatkan orang yang beriman bahawa sekiranya ia mempunyai secebis iman sekalipun ia tentu yakin dengan perintah dan larangan Allah. Ia akan bertanggungjawab memaklumkan kelemahan orang itu dihadapannya dengan niat untuk membantu saudaranya memperbaiki dirinya bukan mencelanya di belakang sahaja.  HAMKA seterusnya menggambarkan perangai jijik ini dengan pantun berikut:

Elok umbutnya pandan singkil
Dilipat lalu dipekalang
Manis mulutnya sehingga bibir
Hatinya bulat membelakang.

Ayat 12 ini diakhiri dengan ayat berikut yang bermaksud, “Dan bertakwalah kepada Allah; Sesungguhnya Allah itu sudi memberi taubat dan lagi Maha Penyayang”.

Ayat ini memberi peringatan dan harapan kepada manusia bahawa pintu taubat sentiasa terbuka.  Jika selama ini perangai yang buruk ada pada diri seseorang maka segeralah bertaubat dengan penuh keinsafan dan meninggalkan perangai buruk ini.  Insyallah Allah akan menerima taubat yang ikhlas ini.

3.3       Ayat 13 Surah Al-Hujurat


يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿١٣
Maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Ayat ke 13 pula dimulai dengan ayat yang bermaksud seperti berikut, Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan.”  Ayat ini menyentuh tentang kejadian manusia supaya manusia ingat kembali kedudukannya di sisi Tuhan yang menciptakannya daripada tiada kepada ada.  Pentafsir mengemukakan dua pentafsiran kepada ayat ini iaitu bahawa seluruh manusia itu dijadikan pada mulanya dari seorang laki-laki iaitu Nabi Adam A.S dan seorang perempuan iaitu Siti Hawa.  Ia juga boleh ditafsirkan sebagai setiap manusia itu dari dahulu sampai sekarang terjadi daripada persetubuhan seorang laki-laki dan seorang perempuan kecuali Nabi Adam A.S, Siti Hawa dan Nabi Isa A.S.  Pentafsir  menjelaskan pula peringkat-peringkat penciptaan manusia iaitu peringkat nutfah, ‘alaqah dan mudghhah sehingga ditiupkan roh kepada jasadnya dan seterusnya ia dilahirkan ke dunia.  Pada peringkat ini janin yang terhasil belum menampakkan perbezaan kulit, rupa dan sebagainya.

Dalam ayat berikutnya yang bermaksud seperti berikut, ‘Dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa, bersuku-suku, supaya kenal mengenallah kamu.’  Allah memberitahu manusia bahawa Dia memang sengaja mencipta manusia berbangsa-bangsa, berpuak-puak, bersuku-suku dan sebagainya supaya mereka dapat mengenali satu sama lain dan mengiktiraf kelainan dan perbezaan masing-masing bagi tujuan bersatu dan bukan berpecah-pecah.  Perbezaan ini semua terjadi berdasarkan perbezaan iklim tempat tinggal mereka, hawa udaranya, letak tanahnya, peredaran musimnya dan seterusnya hingga lahirlah warna, wajah dan diri manusia serta bahasa yang berlainan, terpisah di atas bumi kerana keluasannya dan membentu kelompok-kelompok, kaum-kaum, bangsa-bangsa, suku-suku, keluarga dan unit-unit yang lebih kecil.

Pentafsir menjelaskan ayat ini selanjutnya dengan memberikan contoh orang Minangkabau yang mempunyai sistem persukuan.  Suku-suku ini wujud berdasarkan tempat asal mereka masing-masing dan apabila orang Minang bertemu mereka akan menyelidik  asal-usul mereka untuk menentukan suku dan seterusnya persaudaraan antara mereka.  Ini telah menjadi natijah manusia suka mengeratkan silaturrahim berdasarkan keturunan.  Namun dremikian, melalui ayat ini manusia diingatkan bahawa pada hakikatnya manusia berasal dari satu keturunan.  Mencari perbezaan antara satu sama lain tidak digalakkan kerana yang lebih utama ialah menginsafi bahawa adanya persamaan keturunan.

Ayat seterusnya yang bererti, Sesungguhnya yang semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah yang setaqwa-taqwa kamu”.  Ayat ini memberi penjelasan kepada manusia bahawa kemuliaan sejati yang dianggap bernilai oleh Allah adalah kemuliaan hati, budi, perangai dan ketaatan kepada Allah bukan berdasarkan keturunan, status dan pangkat dalam masyarakat.  Melalui ayat ini Allah menghapuskan perasaan sesetengah manusia yang menganggap diri mereka lebih tinggi darjatnya daripada yang lain berdasarkan keturunan mereka contohnya seperti keturunan bangsawan dan sebagainya.  Dalam hal ini HAMKA mengemukakan pula sebuah hadis seperti berikut:

Apabila datang kepada kamu orang yang kamu sukai agamanya dan budi pekertinya, maka nikahkanlah dia.  Kalau tidak maka akan timbullah fitnah dan kerosakan yang besar.’ ( HR Al Tarmidzi )

Hadis ini jelas menunjukkan dalam hal mencari jodoh mengikut panduan Allah dan RasulNya ialah agama dan budi kerana agama dan budi timbul dari ketaqwaan kepada Allah dan bukan keturunan.

Pentafsir memberi penerangan lanjut tentang hal ini dengan memberi contoh masalah yang timbul dalam masyarakat di Nusantara seperti mereka dari keturunan Syed dan Syarifah tidak layak berkahwin dengan mereka yang diluar dari keturunan ini yang dianggap orang biasa.  Maka akhirnya apabila cinta terhalang maka terjadilah pergaulan diluar nikah yang dilarang keras oleh agama.  Ini berlaku dalam masyarakat apabila manusia tidak mengendahkan tuntutan agama dan sebaliknya berpegang pada peraturan hidup yang direka sendiri yang akhirnya merugikan umat Islam itu sendiri

Penghujung ayat 13 ini yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.  Ayat ini mengingatkan manusia yang terlalu mengagung-agungkan suku, bangsa dan sebagainya sehingga membentuk semangat kebangsaan yang mirip Asobiyyah Jahilliyah, bahawa Allah sebagai Pencipta maha mengetahui bahawa semua itu adalah palsu.  Allah mengenal bahawa setiap bangsa ada kelebihan dan kekurangannya dan yang penting ialah ketaqwaan kepada Allah.

4.0       Pengajaran Ayat

Surah Al-Hujurat ayat 11-13 memiliki makna yang luas dan mendalam, membahaskan tentang akhlak sesama kaum Muslim khususnya. Ayat ini dapat dijadikan pedoman agar terciptanya sebuah kehidupan yang harmonis, tenteram, saling menghormati dan mewujudkan rasa aman damai. Sebagai satu masyarakat yang mempunyai nilai sosial positif, setiap manusia tentu tidak ingin haknya terganggu dan disakiti. Oleh kerana itu, disinilah pentingnya bagaimana memahami agar hak (kehormatan diri) setiap orang tidak terganggu sehingga tercipta kehidupan masyarakat harmonis. Jelas Allah SWT memberi pedoman dan panduan melalui surah Al-Hujurat ayat 11-13 ini yang merupakan salah satu surah yang mengupas tentang nilai-nilai pendidikan akhlak. Antara isu yang diutarakan ialah seperti berikut:

4.1       Pendidikan Memelihara Kehormatan Kaum Muslimin

Dalam ayat tersebut Allah SWT tidak hanya memerintahkan untuk menjunjung kehormatan dan nama baik kaum Muslimin, tetapi juga turut dijelaskan pula cara menjaga nama baik dan bagaimana seseorang Muslim menjaga kehormatan kaum Muslimin yang lain. Seorang Muslim mempunyai hak atas saudaranya sesama Muslim, dan hak ini berbagai-bagai.  Perkara ini telah banyak dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam hadis-hadis yang mengingatkan bahawa seorang Muslim terhadap Muslim lainnya adalah bersaudara. Oleh yang demikian Islam sangat menuntut supaya sesorang Muslim iitu wajib menjaga kehormatan orang lain dan saling menolong (dalam hal kebaikan) apabila ada saudaranya yang memerlukan bantuan.

Seseorang yang mengolok-olok saudaranya adalah menghina dirinya sendiri dan memberikan panggilan yang buruk kepada saudara seIslamnya berarti ia telah merendahkan orang tersebut dan sekaligus tidak menjunjung kehormatan kaum Muslimin. Sedangkan menjunjung kehormatan sesama kaum Muslimin merupakan kewajiban setiap umat seperti hadis berikut,
Dari Abu Hurairah r.a, ia berkata, Rasulullah SAW bersabda, Sesama Muslim adalah bersaudara. Sesama Muslim tidak boleh menghianati, mendustai, dan menghinakannya. Sesama Muslim haram mengganggu kehormatan, harta, dan darahnya. Takwa itu ada di sini (sambil menunjuk dadanya). Seseorang cukup dianggap jahat apabila ia menghina saudaranya yang Muslim. (Diriwayatkan Timidzi dan ia berkata, hadith ini Hasan).


4.2       Muhasabah Diri

Orang Islam hendaklah sentiasa muhasabah diri dan melihat serta mencari kelemahan dan kesalahan sendiri.  Hanya dengan cara ini akan timbul keinsafan untuk memperbaiki diri sendiri.  Perlakuan ini juga akan menghindarkan kita daripada mencari kesalahan dan kelemahan orang lain.

4.3      Taubat                    

Melanggar perintah Allah dalam berhubungan sesama Islam seperti yang terdapat dalam ayat-ayat Surah al-Hujurat ini adalah dosa besar.  Namun demikian, jika yang berdosa memohon ampun dari Allah dengan tulus ikhlas, dan juga memohon ampun daripada orang yang dikhianati, insyaAllah allah akan menerima taubat hambaNya.  Ini menunjukkan setiap orang Islam yang fasik masih boleh bertaubat kerana Allah itu Maha Penerima Taubat.

Kepada pesalah-pesalah laku, hendaklah kita segera bertaubat kepada Allah dengan beristigfar kepadaNya. Allah SWT telah mengajarkan hambaNya dengan doa-doa taubat sebagaiman yang telah ternukil di dalam Al-Quran:


a.    Doa Nabi Adam a.s Dan Hawa (Surah Al-A’Raf, Ayat 23)
سُوۡرَةُ الاٴعرَاف
قَالَا رَبَّنَا ظَلَمۡنَآ أَنفُسَنَا وَإِن لَّمۡ تَغۡفِرۡ لَنَا وَتَرۡحَمۡنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَـٰسِرِينَ (٢٣)

Maksudnya: Mereka berdua merayu: Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi. (23)

b.    Doa Nabi Yunus a.s (Surah Al-Anbiya Ayat 87)
سُوۡرَةُ الاٴنبیَاء

وَذَا ٱلنُّونِ إِذ ذَّهَبَ مُغَـٰضِبً۬ا فَظَنَّ أَن لَّن نَّقۡدِرَ عَلَيۡهِ فَنَادَىٰ فِى ٱلظُّلُمَـٰتِ
 أَن لَّآ إِلَـٰهَ إِلَّآ أَنتَ سُبۡحَـٰنَكَ إِنِّى ڪُنتُ مِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ (٨٧)

Maksudnya: Dan (sebutkanlah peristiwa) Zunnun, ketika dia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan dia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka dia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri. (87)

c.    Doa Nabi Ibrahim a.s (Surah Ibrahim, Ayat 41)
سُوۡرَةُ إبراهیم
رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لِى وَلِوَٲلِدَىَّ وَلِلۡمُؤۡمِنِينَ يَوۡمَ يَقُومُ ٱلۡحِسَابُ (٤١)

Maksudnya: Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan. (41)



d.    Doa Nabi Muhamad SAW (Surah At-Tahrim, Ayat 8)
سُوۡرَةُ التّحْریم

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ تُوبُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ تَوۡبَةً۬ نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمۡ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمۡ سَيِّـَٔاتِكُمۡ وَيُدۡخِلَڪُمۡ جَنَّـٰتٍ۬
 تَجۡرِى مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ يَوۡمَ لَا يُخۡزِى ٱللَّهُ ٱلنَّبِىَّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُ ۥ‌ۖ نُورُهُمۡ يَسۡعَىٰ بَيۡنَ أَيۡدِيہِمۡ
وَبِأَيۡمَـٰنِہِمۡ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَتۡمِمۡ لَنَا نُورَنَا وَٱغۡفِرۡ لَنَآ‌ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ ڪُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ۬ (٨)
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (8)

4.4       Bersangka Baik (Positive Thinking)

Ayat-ayat ini juga mengajar umat Islam supaya sentiasa bersangka baik terhadap orang lain khususnya kaum Muslimin yang lain.  Sikap berburuk sangka terhadap seseorang itu sangat buruk akibatnya.  Ia boleh memecah belahkan kaum keluarga, masyarakat dan juga Negara iaitu apabila pemerintah sendiri berburuk sangka terhadap rakyat.  Sikap berburuk sangka dikalangan umat Islam ini akan  menimbulkan sikap saling tidak mempercayai antara satu dengan yang lain, curiga mencurigai dan seterusnya akan terjejaslah perpaduan ummah.  Bersangka baik terhadap satu sama lain adalah dituntut kerana kalau pun seseorang Muslim itu memang melakukan dosa, Allah sentiasa mengetahuinya dan ia tidak akan terlepas daripada balasan yang setimpal dengan dosa tersebut.  Sebaliknya sikap bersangka baik akan menghalang daripada berlakunya ketidakadilan terhadap seseorang yang difitnah tanpa bukti yang nyata

4.5       Persamaan Taraf

Walaupun manusia dilahirkan berlainan rupa, wajah, warna kulit dan keadaan fizikal yang lain serta berlainan bangsa, bahasa dan sebagainya, hakikatnya mereka berasal dari nenek moyang yang sama iaitu Adam dan Hawa  Mereka juga dilahirkan dengan tujuan yang sama iaitu menghambakan diri kepada Allah. Oleh yang demikian, yang membezakan mereka disisi Allah hanyalah taqwa. Maka hakikat ini akan mengingatkan orang beriman supaya tidak menghina satu sama lain kerana mereka semua adalah setaraf dari segi kemanusiaan.   

4.6       Saling Ta’aruf

Manusia adalah makhluk sosial yang akan sunyi jika hidup sendiri. Oleh itu setiap individu yang sempurna akalnya dan seimbang emosinya memerlukan orang lain untuk hidup saling bergantung antara satu dengan lain. Dengan ta’aruf keakraban dan keharmonian dalam kehidupan akan terjalin di antara sesame Muslim. Allah SWT menciptakan manusia dengan berbagai bangsa dan keturunan. Bagaimanapun, apa yang mulia disisi Allah SWT bukanlah keturunan atau keagungan sesuatu bangsa itu, tetapi ketaatan dan keihklasan dalam ibadah manusia kepadaNya.

Dalam mengaplikasikan ta’aruf sesama manusia disamping dapat kita ambil manfaat daripada hubungan silaturrahim ini, maka hendaklah kita mengambilkira akhlak dan adab sopan perhubungan yang disarankan Islam.  Antaranya adalah seperti berikut:

a.    Menggunakan bahasa yang baik dan sopan ketika berkomunikasi
b.    Jangan sampai menyinggung perasaan orang atau orang disekitarnya.
c.    Sesekali diselangi dengan humor yang boleh membuat suasana lebih
harmoni bagi orang yang baru kita kenali
d.    Tidak berbohong



5.0       Kesimpulan

Kesimpulannnya teknik dan methode yang digunapakai oleh HAMKA dalam menafsir ayat 11-13 daripada Surah Al-Hujurat ini banyak dipengaruhi latarbelakang beliau. Beliau mempunyai pendidikan agama dan dari keluarga yang memperjuangkan agama Islam di Indonesia. Mahir dalam penguasaan bahasa Arab dan meminati sastera Melayu terutama syair dan pantun. Penggunaan syair dan pantun amat jelas dalam penyampaian dakwah beliau melalui Tafsir Al-Azhar. Beliau berkecimpung dalam tugas  pendakwah dan juga guru agama semenjak tahun 1927 sehingga dilantik menjadi rektor di Perguruan Tinggi Islam pada 1959.

HAMKA lahir ketika Indonesia sedang giat menuntut kemerdekaan dari Belanda. Beliau juga turut aktif dalam bidang politik dan menggunakan kemahiran pidatonya untuk memperjuangkan tanahairnya. Walaubagaimanapun selepas era pasca merdeka, HAMKA telah pernah diberi kata dua oleh Presiden Indonesia Bung Soekorno pada tahun 1960 sama ada untuk terus bergiat cergas dalam politik ataupun untuk terus kekal sebagai guru agama.  HAMKA memilih untuk berhenti dan meneruskan perjuangan politiknya. HAMKA telah dipenjarakan oleh pemerintah Indonesia pada tahun 1964-1966 kerana disyaki penglibatan politiknya yang dikatakan pro Malaysia.

Semasa dipenjaralah HAMKA telah menulis Tafsir Al-Azhar yang mana pemikiran terhadap situasi politik di Indonesia ketika banyak mempengaruhi gaya penulisan karya beliau disamping minat beliau di dalam bidang kesusasteraan, pengetahuan dalam selok belok dalam bidang agama dan juga latarbelakang keturunan beliau yang datang daripada suku kaum Minangkabau telah digunapakai untuk menghuraikan ayat-ayat 11-13 surah Al-Hujurat ini.  Secara keseluruhan HAMKA menggunakan kombinasi method bi-mathur dan bi-ra’ yi di dalam pentafsiran ayat 11–13 surah Al-Hujurat dalam karyanya Tafsir Al-Azhar ini. Method bi-mathur ialah mentafsirkan ayat dengan ayat Al-Quran serta hadith-hadith Rasulullah SAW. Sementara method bi-ra ‘yi pula ialah HAMKA sentiasa menerapkan kesenian dalam menginterpretasi agama dan kesenian tersebut menjadi gaya penafsiran dalam mentafsir al-Quran serta menggunakan pengalaman semasa beliau dipenjara dan pengaruh alam persekitaran. Umpamanya di dalam ayat 13, beliau telah menggunakan adat perpatih Minangkabau sebagai contoh penafsirannya.

Kumpulan kami membuat rumusan bahawa surah Al-Hujurat ayat 11–13 menerangkan tentang akhlak yang baik yang berhubungan dengan sikap orang-orang mukmin terhadap saudara-saudara mereka seagama dan seakidah dengan mereka serta sopan santun dalam pergaulan antarabangsa.

Akhlak yang mulia merupakan cermin keperibadian seseorang, selain itu akhlak yang mulia akan mampu meningkatkan martabat seseorang ke tahap yang tinggi. Penilian baik dan buruknya seseorang individu adalah sangat ditentukan melalui akhlaknya. Pada masa kini, akhlak yang mulia (soft skill) adalah merupakan nilai yang mahal dan sukar dperolehi. Dengan memahami nilai-nilai akhlak yang terkandung dalam Al-Quran orang Islam akan dapat memperbaiki keperibadian masing-masing supaya menjadi umat yang berakhlak tinggi.  Untuk membentuk peribadi yang mulia, pendidikan akhlak harus diberi keutamaan dalam pembentukan dan pembangunan modal insan. Surah Al-Hujurat ayat 11-13 membahas tentang menciptakan suasana yang harmonis di antara lingkungan masyarakat serta menghindari terjadinya permusuhan. Sehingga akan tercipta peribadi yang santun sesuai dengan tuntutan yang digariskan di dalam  Al-Quran.

Apa yang berlaku di dunia politik di Malaysia pada masa ini adalah sangat releven dengan ayat-ayat Surah Al-Hujurat yang dibahas dalam kertas ini.  Segala yang dilarang dalam ayat-ayat ini nampaknya berlaku pada masa ini.  Korek mengorek tentang hal-hal yang sangat peribadi yang berlaku dalam bilik tidur contohnya, sudah menjadi perkara biasa.   Pendedahan demi pendedahan mengenai keaiban orang dibuat melalui media masa secara berleluasa.  Begitu juga fitnah memfitnah sudah menjadi asam garam dunia politik.

Sudah tiba masanya alim ulamak kita melaksanakan nahi mungkar dengan mengingatkan kembali umat Islam serta kerajaan tentang ajaran Al-Quran seperti ayat-ayat yang dibincangkan ini.   Jika perkara buruk ini berleluasa dan tidak boleh disekat lagi, berkemungkinan besar rakyat Islam di Negara ini akan dilaknat Allah dengan laknat yang tidak dijangka sama sekali.  Wallahu A’lam.




6.0       Rujukan

 

1.    Al-Quran

2.    Al-Quran & Terjemahan, Yayasan Penyelenggara Penterjemah/Pentafsir Al-Quran, Jakarta, 1971

3.    Al-Quran & Tafsirnya (Jilid 4), Proyek Pengadaan Kitab Suci Al-Quran Deparment Agama Republik Indonesia, Jakarta, 1977/78

4.    Al-Misbah Al-Munir fi Tahzib Tafsir Ibnu Kasir, 1999, 1032-1034

5.    Generasi Penyelamat Ummah, Hilmy Bakar Almascaty, Kuala Lumpur: Berita Publishing Sdn Bhd, 1995.

6.    Kamus Al-Quran Rujukan Lengkap Kosa Kata Dalam Al-Quran, Dato’ Dr. Zulkifli Mohd Yusoff, PTS Islamika Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2010

7.    Tafsir Al-Azhar, Juz 26, 27 & 28, Prof Dr Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA), Surabaya, 1984

8.    Tafsir At-Tabari, Jilid XXI, 2001 : 373 – 382

9.    Sejarah dan Perkembangan Ulama Tafsir Mengenai tafsir Ilmiy, Mazlan Ibrahim, Shah Alam: Karisma Publication Sdn. Bhd., 2002

10.  Syamil Al-Quran Miracle, Miracle The Reference, Bandung, 2007

11.  Suatu Contoh Tentang Huraian Metodologi, Abdul Halim bin Mat Diah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, , 1987

12.  Wawasan Al-Quran: Tafsir Maudhu’i Atas Pelbagai Persoalan Umat, Moh. Quraish Shihab, Mizan, Bandung, 1996


[1] Lihat Wawasan Al-Quran : Tafsir Maudhu’i Atas Pelbagai Persoalan Umat, hlm 8
[2] Dipetik daripada  http://id.wikipedia.org/wiki/Haji_Abdul_Malik_Karim_Amrullah
[3] Ibid

[4] Lihat Al-Quran & Terjemahan: Yayasan Penyelenggara Penterjemah/Pentafsir Al-Quran, hlm 844
[5] Ibid, hlm 849