Pages

Monday 30 January 2012

Ulasan Temubual “Hamas Dan Fatah: Berdamai?” Dalam Program Sudut Pandang Di Astro Awani (Saluran 501)



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم

Sempena cuti hujung minggu, Alhamdulillah penulis ada kelapangan masa untuk menonton sebuah program yang ditayangkan di Astro Awani - rasanya siaran ulangan kerana insiden tersebut telah berlaku pada 2008. Tujuan penulis menontonnya adalah untuk mengetahui perbincangan yang berbentuk akademik tentang konflik yang melanda Palestin. Berikut adalah pandangan penulis hasil daripada bual bicara tersebut untuk dikongsi bersama dengan para pembaca yang dirahmati Allah s.w.t. Penulis juga ada membuat beberapa penyelidikan di internet berkenaan dengan Deklarasi Sana'a untuk dikongsikan dengan para pembaca.

1.0       Pendahuluan

Tulisan kali ini dibuat adalah untuk mengulas perbincangan di antara Encik Kamarul Bahrin Haron, Pengacara dan Penerbit Sudut Pandang dan Prof. Dr. Kamaruzaman Yusuf daripada UKM dalam bual bicara Hamas dan Fatah: Berdamai? di slot Sudung Pandang yang telah ditayangkan di program Asto Awani di saluran 501 baru-baru ini.

Bual bicara tersebut telah mengupas bagaimana Deklarasi Sana’a yang telah tandatangani oleh Hamas dan Fatah pada 23hb March 2008 di Yaman. Usaha murni kedua-dua belah pihak yang paling dominan di Palestin ini dilihat secara positif dapat mencorakkan masa depan Palestin dengan mengambil aspek kesamaan fahaman dan pemikiran dalam usaha mencapai kemederkaan Palestin daripada cengkaman Israel.

2.0       Latarbelakang Politik Di Palestin

            Ketika ini terdapat 3 buah parti politik yang aktif di Palestin iaitu:

2.1       Barisan Pembebasan Popular Palestin

Barisan Pembebasan Popular Palestin atau nama ringkasnya PFLP (Bahasa Arab: الجبهة الشعبية لتحرير فلسطين, al-Jabhah al-Sha`biyyah li-Tahrīr Filastīn) merupakan satu organisasi politik dan ketenteraan Palestin bersifat Marxisme-Leninisme, sekular, nasionalisme ditubuhkan pada tahun 1967.

2.2       Fatah

Fatah bermaksud (فتح) penaklukan merupakan parti politik Palestin dan parti terbesar gabungan Pertubuhan Pembebasan Palestin. Presiden Pihak Berkuasa[1] Palestin iaitu Mahmoud Abbas berasal dari parti Fatah. Namun, Fatah tewas kepada Hamas dalam pilihanraya umum parlimen 2006.

"Fatah" merupakan singkatan songsang Harakat al-Tahrir al-Watani al-Filastini (حركة التحرير الوطني الفلسطيني) yang bermaksud Gerakan Pembebasan Kebangsaan Palestin. Parti ini ditubuhkan oleh bekas pemimpin penduduk Palestin, Yasser Arafat dan mempunyai askar militan. Abbas dan Fatah dilihat oleh pihak Barat sebagai pengaruh sederhana dalam lingkungan politik Palestin.

2.2.1    Hubungan Fatah Dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO)

Pertubuhan Pembebasan Palestin (bahasa Arab: منظمة التحرير الفلسطينية , ataupun dalam bahasa Inggeris: Palestine Liberation Organization (PLO)) merupakan gabungan parti-parti di Palestin yang diiktiraf oleh Liga Arab sebagai wakil penduduk Palestin[2].

Apabila ditubuhkan pada 1964, PLO berhasrat menghapuskan negara Israel melalui tindakan bersenjata. Piagam PLO pertama menekankan pemusnahan Israel, hak pulang ke Palestin serta kebebasan penduduk Palestin. Namun, PLO masa ini menegaskan penyelesaian konflik Arab-Israel melalui dua negara (two-state solution), yakni penubuhan negara Palestin bersempadan dengan Israel, dengan syarat-syarat seperti hak penduduk Palestin untuk kembali dan penetapan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin[3].

Pada 1993, pengerusi PLO, Yasser Arafat, dalam surat rasmi kepada Perdana Menteri Israel ketika itu, Yitzhak Rabin, telah mengiktiraf kedaulatan Israel. Israel lalu mengiktiraf PLO sebagai wakil penduduk Palestin yang sah. Arafat yang menyandang jawatan pengerusi Jawatankuasa eksekutif PLO sejak 1969 meninggal dunia pada 2004. Beliau digantikan oleh Mahmoud Abbas.

Menurut laporan Perkhidmatan Perisikan Jenayah Negara United Kingdom, PLO mempunyai aset bernilai sebanyak AS$8 bilion dan pendapatan tahunan sebanyak $1.5 bilion melalui dermaan, pemerasan, perdagangan senjata haram, pengedaran dadah, pemindahan wang haram, penipuan dan sebagainya. Akhbar harian Daily Telegraph dari UK juga menyatakan PLO mempunyai $50 bilion dalam pelaburan rahsia di seluruh dunia[4].

PLO merupakan pemerhati dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

2.2.2    Sejarah Penubuhan PLO

Idea pemubuhan satu pertubuhan mewakili penduduk Palestin dicetuskan dalam persidangan Liga Arab Kaherah pada 1964. PLO ditubuhkan pada 2 Jun 1964. Dalam pemasyhuran pertubuhan menyatakan hasrat memperjuangkan "hak penduduk berbangsa Arab Palestin kembali ke tanah air suci mereka dan mengesahkan keperluan berjuang untuk membebaskan tanah air yang dirampas, keazaman menonjolkan semangat revolusi mereka serta pemobilisasian segala kebolehan, kuasa material, ketenteraan dan rohani."[5]

Piagam awal PLO juga menyatakan "Dakwaan bahawa wujudnya hubungan sejarah dan rohani antara penduduk Yahudi dan Palestin adalah bercanggah dengan fakta sejarah ataupun asas benar sebuah negara yang kukuh. Orang Yahudi bukanlah masyarakat yang mempunyai keperibadian yang merdeka (maknanya bukan satu bangsa yang benar) kerana mereka hanya warganegara kepada negara mereka."[6]

2.2.3    Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif PLO

Terdapat 4 orang Arab Palestine yang menerajui PLO iaitu:
a.       Ahmed Shukeiri (10 Jun 1964 - 24 Disember 1967
b.      Yahya Hammuda (24 Disember 1967 - 2 Februari 1969)
c.       Yasser Arafat (2 Februari 1969 - 11 November 2004)
d.      Mahmoud Abbas (11 November 2004  sehingga kini)

 

2.2.4    Program Sepuluh Isi

PLO melancarkan "Program Sepuluh Isi" pada 1974 yang menyeru penubuhan satu badan berkuasa "yang memerintah kawasan Palestin yang dibebaskan" dan berniat "meneruskan pembebasan segala wilayah Palestin". Program itu mengakui pembebasan Palestin mungkin tidak melibatkan seluruh tanah Palestin, dan walaupun menekankan perjuangan bersenjata, program ini tidak mengecualikan cara-cara lain pembebasan.

2.3       Hamas

Hamas (bahasa Arab: حماس, singkatan حركة المقاومة الاسلامية Harakat al-Muqawama al-Islamiyya, Gerakan Pembela Islam) merupakan satu pertubuhan Islam Palestin yang ketika ini (sejak pilihanraya Januari 2006) parti berkuasa Pihak Berkuasa Palestin [1]. Berikutan pilihanraya itu, pemimpinnya, Ismail Haniyeh telah dilantik menjadi Perdana Menteri Palestin.

Namun, pada 14 Jun 2007, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas telah membubarkan parlimen dan memecat kerajaan Palestin bersatu yang diketuai oleh Hamas akibat pertempuran antara Hamas dan Fatah di Gaza. Abbas telah melantik Salam Fayyad sebagai pengganti Haniya. Baru- baru ini setelah pengunduran tentera Zionis dari Gaza, sokongan yang diberikan kepada Hamas semakin kuat.

2.3.1    Tokoh Penting Dalam Hamas

Hamas adalah akronim bagi frasa bahasa Arab حركة المقاومة الاسلامية, atau Harakat al-Muqāwama al-Islāmiyya atau "Pergerakan Pembela Islam"

Brigad Izz ad-Din al-Qassam, sayap ketenteraan Hamas telah dibentuk pada tahun 1992, dinamakan sempena mengenang jasa pejuang Palestin, Sheikh Izz ad-Din al-Qassam. Unit tentera Hamas kadangkala menamakan diri mereka "Students of Ayyash", "Students of the Engineer", atau "Unit Yahya Ayyash",[7][2] to commemorate Yahya Ayyash, an early Hamas bomb-maker killed in 1996.

2.3.2    Sejarah Penubuhan Hamas

Hamas diasaskan oleh Syeikh Ahmed Yassin dari bahagian Gaza al-Ikhwanul al-Muslimun. Sejak penubuhannya, Hamas telah melancarkan serangan balas terhadap pendudukan Zionis Israel, negara haram yang menakluki wilayah Palestin. Piagam Hamas menyeru supaya negara haram Zionis Israel dimusnahkan dan digantikan dengan sebuah negara Islam yang adil dan damai tanpa mengira agama, etnik bangsa dan sebagainya. Hamas sering menunjukkan sentimen anti-Zionis Israel dan berjuang untuk mengusir pihak Zionis Israel keluar dari Palestin melalui Jihad.

Dalam pilihanraya umum 2006, Hamas berjaya memenangi jumlah kerusi yang terbanyak dalam parlimen dan telah membentuk kerajaan baru. Hal ini membuktikan populariti Hamas berbanding dengan Fatah yang dianggap tidak berkesan dan tidak berakhlak oleh penduduk Palestin. Hamas juga melaksanakan beberapa program kebajikan di wilayah Palestin, termasuk menabung sekolah, rumah yatim piatu dan klinik kesihatan.

Pertempuran antara kumpulan militan Fatah dan Hamas sejak pilihanraya Januari 2006 telah banyak berlaku, dan menyebabkan kemusnahan infrastruktur dan kegawatan ekonomi.

Hamas dianggap sebagai pihak pengganas oleh Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Australia, Israel, Jepun dan Kesatuan Eropah. Selepas kemenangan Hamas dalam pilihan raya 2006, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah telah menyekat bantuan ekonomi kepada Palestin, demi memulaukan Hamas. Pada 8 Februari 2007, Hamas telah bersetuju mangagihkan kuasa antara pihak Hamas dan Fatah dengan harapan menghentikan sekatan itu. Namun, Israel dan Amerika Syarikat masih tidak berpuas hati dengan penglibatan Hamas dalam kerajaan. Pertempuran antara Hamas dan Fatah diteruskan sehingga Jun 2007, apabila Mahmoud Abbas membubarkan parlimen untuk melantik kerajaannya sendiri. Tindakan ini ditentang habis-habisan oleh Hamas. Pada hari yang sama itu, militan Hamas berjaya menguasai seluruh Jalur Gaza dan menghancurkan pengaruh dan kuasa Fatah di kawasan tersebut.

2.4       Kawasan Yang Dikuasai Oleh Hamas Dan Fatah

Dalam persengketaan di antara Hamas dan Fatah, semenanjung Gaza telah Berjaya dikuasai oleh Hamas sementara Tebing Barat (West Bank) masih lagi dikuasai oleh Fatah. Silat rujuk Peta Palestin di Gambarajah 1:

 Gambarajah 1: Peta Palestin

 

3.0       Ulasan Ke Atas Topik Hamas & Fatah: Berdamai?

Perbincangan berkenaan dengan usaha damai yang telah ditunjukkan oleh Hamas dan Fatah dilihat sebagai langkah positif ke atas usaha bersama untuk mencapai objektif utama demi memerdeka bumi Palestine daripada jajahan Israel. Ianya adalah merupakan langkah-langkah diplomasi di antara kedua-dua parti politik yang mewakili rakyat Palestin rentetan daripada Deklarasi Sana’a atas inisiatif Kerajaan Yaman untuk duduk semeja demi menjaga kepentingan rakyat Palestin khususnya.

Perbincangan ini telah mengupas satu perkembangan yang positif telah berlaku di antara Hamas dan Fatah pada tahun 2008. Khaled Mishaal dari Hamas dan Ahli Parlimen Azzam Al-Ahmad dan Dr. Mousa Abu Marzouk dari Fatah telah menanda-tangani satu usaha damai yang dinamakan "Yemeni Initiative" yang ditaja oleh President Yemen-Ali Abdullah Salleh di Sana''a, Yemen pada hari Ahad 23hb March 2008. Dalam "Sana''a Declaration" ini kedua-dua pihak telah bersetuju menjadi deklarasi ini sebagai satu rangka-kerja dimana Dialoq kebangsaan Palestine dapat dihidupkan semula dan membincang semua pertelingkahan yang terdapat diantara mereka[8].

Encik Kamarul Bahrin Haron telah membuat komentar bahawa Deklarasi Sana’a bukanlah merupakan perjanjian damai di antara Hamas dan Fatah tetapi sebagai satu usaha kedua-dua belah pihak untuk berunding dan duduk semeja untuk satu rangkakerja (framework) untuk bersama-sama membangun dan menjaga kepentingan rakyat Palestin. Pendapat ini telah dipersetujui oleh Prof. Dr. Kamaruzaman Yusuf dengan menambah bahawa Deklarasi Sana’a telah menunjukkan bahawa kedua-dua parti yang paling dominan di Palestin ini telah berjaya mengenalpasti beberapa faktor dalam persamaan dalam perjuangan mereka adalah seperti berikut:

a.  Hamas dan Fatah dapat menentukan musuh mereka iaitu Israel dan Regime Zionis
b.   Objektif perjuangan Hamas dan Fatah iaitu untuk memerdekakan bumi Palestin daripada penguasaaan Israel
c.  Bagaimana kedua-dua belah pihak iaitu Hamas dan Fatah bersama-sama boleh berganding bahu untuk mencapai kemerdekaan bumi Palestin
d.  Deklarasi Sana’a dilihat sebagai satu kejayaan dengan dapat mengurangkan jurang perbezaan fahaman dan pemikiran di antara Hamas dan Fatah dalam perjuangan mereka. Hamas dilihat sebagai satu pergerakan politik yang menekankan aspek kebajikan manakala Fatah dilihat sebagai satu pergerakan yang mempunyai ideologi yang berbeza dari Hamas iaitu untuk mencapai kemederkaan Palestin dengan cara kegananasan.

Apabila diajukan sama ada Deklarasi Sana’a diwujudkan kerana adanya tekanan daripada luar terutama sekali Amerika Syarikat terutamanya President George Bush untuk Hamas dan Fatah untuk berdamai, ahli panel telah menjawab bahawa kemungkinan pada peringkat awal proses perdamaian di Asia Barat, rundingan damai harus dilaksanakan di antara PLO dan Israel. Namun pada masa yang sama Naib President Amerika Syarikat iaitu Dick Cheney mengatakan bahawa Deklarasi Sana’a tidak akan membantu usaha damai antara Hamas dan Fatah  malah secara sinis Deklarasi Sana’a tidak akan membawa apa-apa makna kepada Asia Barat malah menggesa Israel sentiasa bersiap sedia untuk menjaga keselamatan rakyat Yahudi di Israel.

Kedua-dua ahli panel juga berpendapat bahawa dengan adanya sokongan Rusia ke atas Hamas kesan pertemuan di antara Menteri Luar Rusia dengan Khaled Mishaal di Yaman ianya dilihat terdapat keseimbangan kuasa di antara Amerika Syarikat yang pro-Israel. Ini kerana Israel hanya akan menerima pendapat daripada sekutunya sahaja iaitu Amerika Syarikat. Namun kesedian Israel menerima kunjugan menteri luar Rusia dilihat sebagai strategi yang bijak oleh pihak Hamas dalam mewujudkan kesimbangan kuasa dunia terutamanya ia memberi impak yang positif di Asia Barat.

Bila diajukan soalan teknik diplomasi Palestin (iaitu Fatah dan Hamas) dalam usaha damai dan kebolehan bertoleransi untuk duduk semeja, Prof Dr. Kamaruzaman telah memberi komentar bahawa usaha dan strategi Hamas dilihat sangat bijak dalam memecahkan masalah ketidakfahaman dengan PLO (Fatah) selepas Deklrasi Sana’a dalam menanggani masalah di Palestin seperti isu-isu:

  • Pencabulan hak asasi manusia ke atas rakyat Palestin
  •  Penempatan haram Yahudi di bumi Palestin
  •  Check-point yang ketat oleh regime Zionis ke atas keluar masuknya barangan penting ke bumi Palestin seperti ubat-ubatan, pakaian dan makanan (sekatan ekonomi) yang mana 80%-90% bantuan makanan adalah dibekalkan daripada agensi-agensi luar/masyarakat antarabangsa
  •  Serangan tentera Zionis ke atas penempatan rakyat Palestine

Prof Dr. Kamaruzaman Yusuf berpendapat bahawa Hamas mempunyai teknik dan strategi yang sangat berkesan yang mana ianya dapat menunjukkan bibit-bibit kejayaan yang mana ianya dapat:

a. Menyampaikan mesej kepada Fatah dan PLO untuk bersama-sama mengembling tenaga untuk menjaga kepentingan rakyat Palestin
b.   Bersama-sama terus memperjuangkan hak rakyat Palestin untuk memerangi Israel dan Regime Zionis untuk mencapai kemerdekaan Palestin
c. Menggunakan Mammod Abbas yang juga President PLO sebagai tali penghubung antara Hamas dan Israel. Ianya juga dilihat sebagai bentuk saluran bagi Hamas untuk mengajak Israel duduk berbincang untuk membincangkan isu-isu rakyat Palestin dan keganasan Regime Zionis
d.  Fatah dan Hamas telah menunjukkan kepada masyarakat antarabangsa bahawa mereka telah dapat bertoleransi demi mencapai objektif bersama
e.  Hamas dan Fatah berjaya memberi ancaman kepada Israel dan sekutunya bahawa perjuangan rakyat Palestin tidak pernah berakhir dengan setiap langkah yang dibuat oleh Hamas dan Fatah sentiasa diintai oleh Regime Zionis

4.0       Kesimpulan

Deklrasi Sana’a dilihat sebagai usaha murni dan sangat positif di antara Hamas dan Fatah yang bersaudara untuk duduk berbincang demi menjaga kepentingan bersama dan mencapai kemerdekaan di bumi Palestin. Kedua-dua pihak iaitu Hamas dan Fatah sangat berharap agar perjanjian ini mendatangkan hasil yang baik dan menggesa dunia Arab menyokong usaha damai ini. Malangnya pula Deklarasi Sana’a ini mendapat tentangan dari kepimpinan PA di Ramallah. Kemungkinan besar PA mendapat tekanan dari AS supaya berbuat demikian. Sampai saat ini perjanjian damai ini belum menampakkan hasilnya, aman atau sebaliknya.



[1] Lihat : BBC NEWS “Hamas sweeps to election victory” di http://news.bbc.co.uk/2/hi/middle_east/4650788.stm
[2] Sila rujuk Madiha Rashid al Madfai, Jordan, the United States and the Middle East Peace Process, 1974-1991, Cambridge Middle East Library, Cambridge University Press (June 25th 1993). ISBN 0-521-41523-3. hlm 21:"On 28 October 1974, the seventh Arab summit conference held in Rabat designated the PLO as the sole legitimate representative of the Palestinian people and reaffirmed their right to establish an independent state."
[3] Sila lihat William L. Cleveland, A History of the Modern Middle East, Westview Press (2004).
[4] Silat lihat Rachel Ehrenfeld, And a Thief, Too: Yasser Arafat takes what he likes, National Review, July 29, 2002. Accessed online 5 December 2006.
[5] Statement of Proclamation of the Organization, Palestine Liberation Organization, Jerusalem, 28 May 1964. Online on the site of the Permanent Observer Mission of Palestine to the United Nations. Accessed 5 December 2006.
[6] The Palestinian National Charter, Adopted in 1964 by the 1st Palestinian Conference. Online on the site of the Permanent Observer Mission of Palestine to the United Nations. Accessed 5 December 2006.
[7] Rujuk: Kushner, Harvey W. (2002). Encyclopedia of Terrorism, hlm 160, Sage Publications, ISBN 0-7619-2408-6
[8] Sila rujuk petikan akbar Sana’a News Online:  http://www.sabanews.net/en/news209372.htm

Saturday 28 January 2012

Kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم

     Apa khabar saudara pembaca yang dirahmati Allah sekalian? Pada 12hb Rabiulawal (tahun ini ianya jatuh pada 5/2/2012) saban tahun umat Islam di Malaysia dan juga seluruh dunia akan memperingati akan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w ke dunia. Bersempena dengan tarikh kelahiran baginda juga kebanyakkan masjid-masjid akan menyediakan slot ceramah berkenaan dengan perjuangan baginda s.a.w. menyebarkan Islam bermula di Mekah untuk 10 tahun yang pertama dan kemudiannya berhijrah ke Madinah setahun selepas berlakunya peristiwa Isra' dan Mikraj dan meneruskan perjuangan menyebarkan Islam selama 12 tahun berikutnya sehinggalah baginda s.a.w wafat selepas pembukaan kota Mekah berjaya dilaksanakan. Penulis membelek-belek buku karya Prof Dato Zulkifli Mohd Yusuf dan isterinya yang bertajuk "Biografi Muhammad bin Abdullah - Perjalanan hidup seorang Nabi" telah memberi penulis satu idea untuk mengupas perihal ketokohan Nabi Muhammad s.a.w sebagai pemimpin kepada umat Islam. Antara ketokohan yang boleh kita sama-sama mengambil iktibar daripada karisma baginda yang sempurna sebagai seorang pemimpin ialah seperti berikut:

 Pemimpin Masyarakat

1.     Berjaya menyatukan semula masyarakat Madinah yang berbilang agama dan keturunan.

2.     Menyatukan masyarakat Islam melalui persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar.

3.  Berjaya mengekalkan perpaduan masyarakat Madinah  (Ansar, Muhajirin dan Yahudi) seperti yang terkandung dalam Piagam Madinah.

4. Baginda menyeru supaya mereka bekerjasama dan bantu membantu serta sama-sama memikul tanggungjawab memepertahankan kota Madinah.

5.     Menghapuskan batas-batas perbezaan kaum melalui konsep ummah. 



Pemimpin Politik

1.     Nabi Muhammad s.a.w menjadi ketua negara Islam Madinah.

2.     Pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w berlandaskan Al-Quran dan Hadith.

3.     Berjaya mengadakan rundingan dengan pemimpin-pemimpin Yathrib melalui Perjanjian Aqabah.

4.   Baginda memperkenalkan sistem syura/musyawarah untuk dilaksanakan dalam semua bidang politik dan ekonomi.

5.  Baginda boleh dianggap sebagai diplomat yang berjaya kerana inisiatifnya menghantar perwakilan ke luar negara seperti Habsyah dan Mesir. 



Perancang Ekonomi

1.     Baginda memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru bagi menggantikan dasar ekonomi Zaman Jahiliyah.

2.     Baginda menggalakkan orang Islam bekerja keras dan bergiat dalam bidang perniagaan dan pertanian.

3.     Baginda berusaha membangunkan ekonomi orang Islam yang tergadai kepada kaum Yahudi.

4.  Usaha-usaha mencari kekayaan dan kesenangan dunia diharuskan asalkan tidak melibatkan riba, penipuan serta menunaikan zakat. 



Pemimpin Tentera

1.     Baginda menunjukkan mutu kepimpinan yang tinggi dalam bidang ketenteraan.

2.     Baginda menjadi pemimpin dalam ekspedisi ketenteraan yang disertainya.

3.     Dalam bidang ketenteraan, asas kepimpinan Baginda ialah akidah, syariat dan akhlak yang mulia.

4.     Baginda bertindak mengikut peraturan yang telah disyariatkan oleh Allah swt.

5.     Baginda mengamalkan sikap amanah dan tidak mudah lemah semangat dalam menghadapi musuh.

6.     Baginda sentiasa bersikap adil kepada semua orang tidak kira kawan atau musuh.

7.     Contoh Baginda membahagikan harta rampasan perang secara adil kepada kawan-kawan yang menyertai peperangan dan tidak melakukan pencerobohan terhadap musuh yang sudah lari dari medan perang atau kaum-kaum yang lemah.

8.     Baginda merupakan seorang panglima tentera dan ahli strategi dalam ketenteraan.

9.     Baginda berjaya merangka taktik dan strategi ketenteraan yang membawa kejayaan kepada pasukan tentera Islam.

10.  Contoh; dalam Perang Badar ( taktik tunggu dan lihat)  dan Perang Khandak   (taktik bertahan dengan menggali parit di sekeliling kota Madinah)



Pemimpin Agama

1.     Mempunyai empat sifat terpuji iaitu siddiq, tabligh, amanah dan fatonah.

2.     Menyampaikan ajaran Islam kepada semua umat manusia.

3.     Baginda berakhlak mulia mengikut ajaran yang diajar dalam Quran sebagai seorang pendakwah dengan menunjukkan sifat-sifat sebenar iaitu lemah-lembut, toleransi, tegas, sabar  dan berpegang teguh pada ajaran yang dibawanya terutama dalam aspek aqidah.

4.  Baginda melakukan aktiviti dakwah dengan penuh dedikasi dan tidak pernah cuba menunjukkan kuasa-kuasa luar biasa walaupun dianugerahi pelbagai mukjizat oleh Allah s.w.t.

5.   Dalam amanat terakhir baginda berpesan supaya umat manusia berpegang teguh pada al-Quran dan al-Hadis.



Ketua Hakim

1.     Nabi Muhammad s.a.w menjalankan kewajipan sebagai ketua hakim yang adil dan saksama.

2.     Baginda menunjukkan beberapa etika yang perlu dipatuhi oleh setiap hakim.

3.  Baginda menunjukkan ketegasan dalam melaksanakan hukuman seperti mana baginda pernah menegaskan bahawa hukuman memotong tangan terhadap pencuri akan dilaksanakan walaupun pencuri tersebut ialah Fatimah, puteri yang paling baginda sayangi.



KESIMPULAN:

N   
      1. Nabi Muhammad s.a.w bukan sahaja seorang Nabi dan Rasul yang disegani tetapi merupakan seorang pemimpin yang berjaya dalam pelbagai bidang.


     2. Baginda berjaya membina tamadun Islam dan diwarisi oleh khalifah-khalifah selepasnya. (zaman Khulafa al-Rasyidin)


    Semoga sedikit sumbangan penulis ini akan menjadi manafaat kepada semua pembaca sekalian. Semoga bertemu diruangan yang akan datang. Insyaallah.




Tuesday 17 January 2012

Redha Allah jua yang diminta...

 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم


Pagi ini 17hb Jan 2012, penulis kehilangan seorang lagi sahabat. Jam 7.40 am Nor Aziah Nawi menghembuskan nafasnya yang terakhir di hospital Gleneagle Ampang akibat kanser paru-paru. Orangnya pendiam tidak banyak bercakap. Namun begitu didalam diamnya Almarhum, banyak pencapaian yang telah dicapai sepanjang hayatnya. Mengidap kanser sejak 5 tahun lalu tidak menghalang beliau menamatkan pengajian Ijazahnya dan dapat mengecapi alam mendirikan rumahtangga. Sungguhpun tidak banyak urusan kerja yang penulis dapat bekerjasama dengan Almarhum, pemergiannya pagi ini telah menitiskan airmata penulis, rasa sebak dan hiba kerana betapa hebatnya Almarhum mengharungi hari-hari yang dilalui dengan tabah dan sentiasa berfikiran positif. Kami sering berjumpa ketika jamuan hari raya ataupun majlis pot luck di pejabat namun sifatnya yang memang pendiam tidak banyak topik yang kami boleh perbualkan melainkan hanya bertanya khabar dan bersalaman. 

Pemergian Almarhum pagi ini merupakan satu lagi detik pengajaran kepada penulis. Kematian merupakan pengajaran yang paling baik untuk insan kerdil seperti penulis. Sesungguhnya benarlah kata Allah s.w.t di dalam surah Ali-Imran ayat 185:

كُلُّ نَفۡسٍ۬ ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِ‌ۗ
Maksudnya: Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati

Kepada sahabat yang telah "pergi" mendahului kami dan akan melanggkah ke alam baru (alam barzakh), penulis memanjatkan doa kepada Allah s.w.t 
 
اَللّهُمََّ اغْفِرْلِِ وَارْفَعْ دَرَجَتَهَا فِي اَلْمَهْدِنِّينَ ، وَافْسَحْ لَهَا فَي قَبْرِ هَا، وَنَوَرِّ لَهَا فِيهِ، وَا خْلُفْ هَا فِي عَقِبِهَا

Maksudnya: Ya Allah, ampunkan untuknya, tinggikanlah darjatnya bersama-sama orang-orang yang mendapat hidayah Engkau, luaskanlah kuburnya, cahayakanlah untuknya di dalam kuburnya dan gantikanlah selepasnya orang-orang yang baik dikalangan ahli keluarganya [HR Muslim]

Pemergian Almarhum pagi ini memberi motivasi kepada penulis untuk terus menelusuri hari-hari yang mendatang dengan rasa takut dan penuh mengharap agar Allah menerima setiap amalan-amalan yang penulis lakukan.. Tidak tahu bila masanya Allah akan mencabut nyawa penullis.  Sesungguhnya redha Allah s.w.t sahaja yang penulis minta.

Friday 13 January 2012

و تيسمك فى وجه أخيك صدقه


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم

Dalam melaksanakan tugas seharian, sudah pasti kita berdepan dengan pelbagai rintangan dan cabaran yang memerlukan kesabaran dan kebijaksaan. Tugas yang dipertanggungjawabkan perlu ditangani sebaik mungkin sehingga selesai dan hasilnya dinikmati oleh pelanggan kita. Pada 10hb Jan 2012, penulis telah ditugaskan untuk menjadi juruacara majlis (master of ceremony selepas ini akan ditulis MC) untuk satu bengkel kerja ditempat penulis bertugas. Sebenarnya penulis telah dimaklumkan akan menjadi MC sejak bulan Disember 2011 lagi. Untuk menjadi MC adalah satu tugas yang berat bagi penulis, jadi penulis telah bersiap siaga mempersiapkan skrip dan diri untuk menjadikan benkel kerja tersebut berjalan lancar - dengan lebih tepat penulis akan lancar bertutur semasa majlis berlangsung.

Ini adalah pengalaman penulis kali kedua menjadi MC. Penulis akui masih gugup pada 5 minit yang pertama, Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan penulis. Maklumlah penulis masih lagi berstatus amateur dalam arena pengacaraan majlis Korporat. Berada dipentas hadapan menyebabkan dada penulis berdegup kencang dan bedebar-debar. Selepas majlis selesai, ada seorang sahabat mendekati penulis dengan memberi maklumbalas bahawa "You bagus as an emcee, jadi time keeper pun bagus,. tapi tak senyum..." سُبْحَانَ الله, kerana ingin memastikan lidah lancar bertutur dan tiada apa-apa yang tersilap penulis lupa terseyum...Inilah yang dikatakan kadang-kadang tanggungjawab kerja boleh menyebabkan tekanan dan stress. 

Oleh itu wahai saudara pembaca yang dirahmati Allah sekalian, salah satu petua bagi mengekalkan suasana persekitaraan kerja atau majilis yang kondusif ialah dengan sentiasa memberikan perkhidmatan yang diiringi dengan senyuman.  Majlis akan menjadi lebih relax dan kelihatan mesra dan tidak tegang. 

Senyuman bukan sekadar reaksi gerak muka tetapi turut mempunyai kaitan dengan penghasilan endorphin dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi menjadikan seseorang itu rasa lebih selesa dengan diri sendiri. Kajian juga menunjukkan individu yang ketawa 100 kali dalam tempoh 24 jam mendapat manafaat kardiovaskular sama seperti bersenam selama 10 minit. Hal ini terjadi kerana apabila kita ketawa tekanan darah dan degupan jantung meningkat. Kemudian kedua-dua kadar ini akan turun iaitu lebih rendah daripada paras sebelum kita ketawa. Ia harus dijadikan amalan seharian dan dipraktikkan secara berterusan. Selain daripada memberi impak kepada kesihatan fizikal, senyum juga merupakan satu sedekah sebagaimana sunnah Nabi Muhammad s.a.w. 
و تيسمك فى وجه أخيك صدقه
Kepada sahabat yang memberi maklumbalas, terima kasih banyak kerana sudi menegur kelemahan penulis. Penulis akan memperbaikinya pada majlis yang akan datang. Insyaallah. 

Monday 9 January 2012

Budaya Ilmu Asas Kecemerlangan Generasi


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم

Pada tahun 2012 ini, penulis mempunyai 2 orang anak saudara yang melangkah masuk ke alam persekolahan iaitu Abang Mirul dan Abang Am. Dikesempatan menemankan Abang Mirul menduduki peperiksaan diagnosis literasi dan numerasi untuk darjah satu pada 2hb Jan 2012 di sekolahnya di Sepang menggamit kenangan penulis ketika diusia yang sama dengan Abang Mirul. Abang Am juga telah melalui proses yang sama pada 29hb Dis di Sekolah Rendah Percint 16, Putrajaya..  Terdapat banyak evolusi pendidikan yang telah direntas oleh masyarakat Malaysia. Di zaman penulis dahulu, kami tidak menduduki peperiksaan penempatan kelas seperti sekarang. Sistem pendidikan semakin matang di dalam mendepani cabaran di dalam melahirkan masyarakat yang cemerlang. Tidak juga dapat merasa bantuan kerajaan wang RM 100...

Minggu ini adalah minggu kedua anak-anak kita kembali ke alam persekolahan. Berbagai ragam dapat kita lihat pada diri anak-anak kita setelah berbulan mereka menikmati cuti persekolahan. Namun inilah rutin biasa yang mereka perlu tempuhi selama 11 tahun (iaitu 6 tahun di peringkat rendah & 5 tahun di peringkat menengah) dan membudayakannya demi membina generasi yang cemerlang di masa akan datang. 

Dalam usaha membina insan yang cemerlang, suka penulis mencadangkan wajar kita menghubungkaitkannya dengan ilmu pengetahuan dan pendidikan. Dalam proses ini kesepaduan peranan pihak sekolah dan ibubapa mestilah saling bekerjasama dan mengambil tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Firman Allah s.w.t. dalam surah At-Tahrim ayat 6:
 
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارً۬ا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡہَا مَلَـٰٓٮِٕكَةٌ غِلَاظٌ۬ شِدَادٌ۬ لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ (٦)

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman!. Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

Betapa beratnya tanggungjawab yang perlu digalas oleh ibubapa untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Penulis sangat pasti ganjaran pahalanya pula bukanlah sedikit, pasti besar kerana amanah yang dipikul adalah besar juga. 

Ibubapa adalah asas kepada menentukan dasar pembinaan akhlak dan kecemerlangan anak-anak. Bila tumpuan ibubapa terhadap anak-anak berkurangan, maka kadar keciciran anak-anak semakin meningkat. Anak pada peringkat awal pembesaran dan pendewasaan memerlukan ibubapa sebagai orang yang terawal menunjukkan teladan yang baik. Menurut prinsip pendidikan Islam, saat kritikal dalam proses membina teras nilai murni, akhlak mulia, kasih sayang dan komunikasi yang mesra sebenarnya bermula dari dalam rahim ibu lagi sehinggalah anak itu mencapai usia baligh. 


Rasulullah s.a.w telah menggariskan empat tahap di dalam pendidikan kepada anak-anak iaitu:
  1. Tahap Pertama - anak yang baru lahir sehingga mencapai tahap mumayyiz (6 tahun) hendaklah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan kasih sayang. 
  2. Tahap Kedua - Anak berumur 7 tahun sehingga baligh iaitu 14 tahun hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplim dan memberi tanggungjawab kepada mereka. Umpamanya pada usia 7 tahun kita perlu mendidik mereka mendirikan solat dan memantau solat mereka.
  3. Tahap Ketiga - Anak berumur 15 tahun hingga dewasa (21 tahun) hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi yang tidak bertentangan dengan syariat.
  4. Tahap Keempat - Anak berumur lebih 21 tahun hendaklah para ibubapa memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibubapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar tindakan mereka adalah terkawal
Kepada anak-anak yang baru melangkah ke alam persekolahan, mak andak ucapkan selamat maju jaya. Semoga proses pembelajaran ini yang hanya memakan masa 11 tahun, anak-anak akan beroleh kejayaan dan boleh membina keyakinan diri. Kerana perjalanan menuju kejayaan yang kemungkinan berjuta-juta batu jauhnya adalah bermula dengan langkah pertama. Selamat Maju Jaya.


  Abang Mirul ketika usia 7 tahun (18 Jan 2005)


Abang Am ketika usia 7 tahun (23 Nov 2005)



Tuesday 3 January 2012

Interaksi Dengan Alam - Betulkah akhlak kita?


 بسم الله الرحمن الرحيم

Pada Jumaat 30/12/2011, penulis telah mengambil cuti kecemasan (EL leave) kerana mengalami sakit kaki kesan daripada "fire drill"  yang telah diadakan pada 29/12/2011 ditempat penulis bertugas. Selepas solat subuh, penulis rasakan ketegangan dibahagian betis dan sekeliling tendon kaki, lalu penulis memaklumkan kepada pegawai atasan untuk bercuti - sakit beb!!

Dikesempatan semasa bercuti, penulis ke Celcom untuk menjelaskan bil dan juga "upgrade sim card" untuk pakej Internet. Oleh kerana ruang parking adalah terhad, penulis terpaksa meletakkan kereta agak jauh dari Celcom Outlet. Dengan itu, penulis telah menggunakan jalan pintas semasa perjalanan pergi dan balik. Penulis rasakan amat tidak selesa sekali menggunakan jalan tersebut kerana terdapat bau yang sangat busuk kerana terdapatnya timbunan sampah yang dibuang dikawasan semak yang terletak betul-betul dihadapan premis perniagaan dijalan terbabit. 

 
Lihatlah gambar yang penulis sertakan ini. Cuba saudara pembaca bayangkan betapa busuknya bau yang dirembes keluar daripada sampah sarap yang boleh diklasifikasikan sebagai sampah domestik ini? Memang penulis akui bahawa pengeluaran bau adalah terhasil daripada tindakbalas sampah domestik tersebut dengan unsur alam sebagai salah satu proses penguraian. Namun pembuangan sampah yang tidak kena pada tempatnya akan mengakibatkan kesan bukan sahaja kepada pemandangan, tetapi juga kepada pencemaran udara. Sikap penduduk setempat yang mengambil jalan mudah membuang sampah juga menjadi faktor kepada pencemaran ini.  Ianya benar-benar memaparkan betapa masyarakat setempat menunjukkan sikap "non compliance" to the Akta Kualiti Alam 1974. Beginikah cara kita berinterasi dengan alam? Betulkah ahklak kita? Atau setidak-tidaknya kita menanam sikap lebih prihatin dengan kebersihan dan melihat isu ini dengan cara lebih bermoral.

Selain daripada itu, penulis juga berpendapat sampah sarap yang dibiarkan lebih daripada 3 hari adalah melambangkan betapa ketidakcekapan Majlis Perbandaran mengurus sampah domestik dikawasan terbabit. 

Pengurusan sampah sarap seharusnya diurus oleh pihak Majlis Perbandaran dan juga penglibatan aktif masyarakat yang pada pendapat penulis boleh mengurangkan sisa pembuangan sampah. Aktiviti kitar semula boleh mengurangkan sampah domestik - masyarakat harus memainkan peranan yang aktif dalam aktiviti kitar semula, disamping boleh menjana pendapat, ia juga boleh mendatangkan hasil jualan. Dengan wujudnya kerjasama diantara PBT, masyarakat, pengusaha, dan industri IKS akan dapat mengurangkan kesan buruk kepada alam sekitar.