Pages

Saturday 2 September 2017

Ahli Sunnah Wal Jamaah: Penyerapan Unsur-Unsur Akidah Yang Mengelirukan Dalam Masyarakat Islam Di Malaysia Oleh Muhammad ‘Uthman El-Muhammady

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين



1.1       Pengenalan

Penulisan ini cuba membuat analisa isi kandungan sebuah risalah yang dikarang oleh Dr Muhammad ‘Uthman El-Muhammady (kini almarhum) tentang penyerapan unsur-unsur akidah yang mengelirukan dalam masyarakat Islam di Malaysia yang berpegang kepada manhaj Ahli Sunnah Wa Jamaah (ASWJ) (Muhammad Uthman el-Muhammady 2011). Secara amnya, risalah ini berhalaman 50 mukasurat dengan isi kandungannya mempunyai beberapa topik seperti berikut:

Topik
Halaman
Mukadimah
4
Cabang Ilmu ASWJ
12 - 17
Epistemologi Sunni
18
Keperluan Kepada Ilmu-Ilmu Islam Lain
48
Keperluan Nusantara Atau Dunia Melayu Kepada Empat Wacana Sunni
49


1.2       Mukadimah

Dr Muhammad ‘Uthman El-Muhammady menjelaskan objektif risalah penulisannya ialah untuk meneguhkan pendirian akidah ASWJ dikalangan masyarakat Islam di Malaysia. Dorongannya untuk menulis ialah kerana perkembangan pemikiran Islam liberal telah mula berkembang dengan pesat sehingga boleh mengganggu gugat akidah ASWJ dalam mazhab Imam Al-Asy’ari, dan Fiqh mengikut aliran mazhab Imam Syafie yang telah lama diamalkan di Malaysia. Penulisan beliau di dalam buku ini adalah berlandaskan kepada hujah-hujah dan fakta-fakta yang akan meneguhkan lagi pendirian ASWJ melalui pemahaman ilmu epistemologi. Definisi : (épistémologi) teori tentang pengetahuan, terutamanya yg berkaitan dgn kajian kritis tentang kesahihan, kaedah, dan skop sesuatu pengetahuan (Kamus Dewan 2013).


‘Abd al-Qahir al-Baghdadi rh. membahagikan ASWJ  dalam dalam kitabnya (al-Farqu Baina al-Firaq) (Asmadi Mohamed Naim 2009); (Kate Chambers Seelye 1920)kepada beberapa bahagian mengikut disiplin ilmu dalam epistemologi ASWJ seperti: Ilmu al-Kalam atau Usul al-Din, ilmu Tafsir Quran dan Qiraat, Ilmu Hadith dan cawangan-cawangannya, Ilmu Fiqh dan ahliahlinya (termasuk usul al-fiqhnya), ilmu sastera dan nahu sarafnya, ilmu lughahnya, ilmu tasawwuf dan para ahlinya. Termasuk ke dalam golongan mereka itu orang awam yang mengikut panduan ulama ASWJ dan juga mereka yang menjaga sempadan negeri-negeri ASWJ.

2.1       Cabang Ilmu ASWJ  Dan Ciri-Cirinya
Menurut Dr Muhammad ‘Uthman El-Muhammady, terdapat 5 cabang ilmu ASWJ dengan ciri-cirinya seperti berikut:

a)      Ilmu Tafsir
Ilmu tafsir berdasarkan al-Qur’an dan huraian-huraian para ulama Ahli Sunnah yang muktabar dalam bidangnya seperti al-Baidawi, al-Nasafi, al-Jalalain, a-Khazin, al-Baghwi, Fakhrul-razi dan seterusnya; sampailah kepada para mufassirin zaman kemudian.

b)     Ilmu Hadith
Berdasarkan ilmu-ilmu hadith oleh para imam yang diakui seperti para pengumpul "kutub sittah" dan lainnya dan para pensyarah kitab-kitab mereka seperti huraian para ulama tentang mustalah al-hadith, huraian para ulama tentang "al-jarh wa ta’dil", huraian para ulama tentang sejarah perkembangan hadith.

c)      Ilmu Usuluddin
Ilmu usuluddin mestlah berdasarkan kepada Quran, Sunnah, dan ijma’, huraian para ulama ASWJ yang muktabar dalam bidang ini seperti Imam Abul-Hasan al-Ash’ari, al-Maturidi, al-Baghdadi, al-Baqillani, al-Nasafi, dan seterusnya dalam memberi huraian tentang Tuhan, para nabi, malaikat, kitab samawi, akhirat, dan qadha dan qadar. Juga berdasarkan kepada huraian mereka yang menolak Mu’tazilah, Jabariah, Qadariah, Murji’ah, Khawarij, Batiniah, dan Syiah atau Rafidah. Manakala fahaman pemikiran moden seperti materialisme, sekularisme dan semua fahamanan pasca moden haruslah ditolak.

d)     Ilmu Fiqh
ASWJ mengiktiraf ilmu fiqh dengan detail-detail hukum Syara’ dalam Islam berdasarkan kepada Quran, Sunnah, Ijma’ mereka yang muktabar dan Qias.

e)      Ilmu Akhlak dan Tasawuf
Keperluan kepada usaha merujuk dan mengambil panduan daripada sistem ilmu tasawwuf yang muktabar sebagaimana yang ada dalam ASWJ seperti Imam al-Ghazali rd dan al-Qushairi rh serta al-Junaid al-Baghdadi rh dan lainnya serta teks-teks mereka dan perjalanan hidup mereka. Pendirian ASWJ menekankan perlunya ilmu akhlak dan tasawuf ialah kerana untuk mengelak daripada ciri-ciri yang tidak wajar dalam kefahaman sufiah dan amalan-amalannya, apa lagi yang bercanggah dengan hukum Syara’ dan ciri-ciri Batiniah yang sesat dan menyesatkan yang muncul atas nama tasawwuf atau ilmu hakikat yang palsu dan juga keperluan menyelesaikan masalah-masalah yang timbul berkaitan dengannya.

3.1       Epistemologi Ilmu Menurut ASWJ
Menurut Dr Muhammad ‘Uthman El-Muhammady terdapat 15 rukun berkenaan dengan epistemologi ilmu sunni. Berikut adalah ringkasan rukun-rukun tersebut menurut beliau:

a)      Rukun Pertama
Rukun pertama ialah mengithbatkan hakikat dan ilmu yang mereka ijma’kan tetapnya.mengithbatkan hakikat-hakikat dan ilmu-ilmu yang mereka ijma’kan tetapnya ilmu-ilmu itu dengan makna-makna yang ada pada para ulama dan dianggap sesat mereka yang menafikan ilmu dan lain-lain sifat (a’rad) seperti yang berlaku pada golongan “Sophists” (ini boleh terkena pada pemikiran pascamodernisme) yang menafikan ilmu dan hakikat-hakikat benda-benda yang ada. Demikian pula sesatnya mereka yang menganggap semua pegangan dan kepercayaan sebagai sah walau pun yang saling berlawanan dan bercanggahan.

b)     Rukun Kedua
Rukun kedua ialah tentang baharunya alam ini, yang mereka sepakati ialah alam itu ialah sekalian yang selain dari Allah. Maka sekalian yang lain dari Allah dan sifat-sifatNya yang azali adalah makhluk yang diciptakanNya.  Pencipta alam bukan makhluk, bukan dicipta, bukan dari jenis alam, bukan dari jenis sesuatu bahagian atau juzu’ alam.

c)      Rukun Ketiga
Rukun ke-3 ialah memperihalkan tentang semua peristiwa yang berlaku mesti ada yang melakukannya dan yang menjadikannya.

d)     Rukun Ke-Empat
Rukun ke-4 ialah tentang Berkenaan Dengan Sifat-Sifat Allah IlmuNya, QudratNya, HayatNya, IradatNya, Sama’Nya, BasarNya, dan KalamNya, yang semuanya Sifat-Sifat Yang Azali dan Kekal.

e)      Rukun Ke-Lima
Manakala rukun ke-5 ialah tentang nama-nama Allah pada Ahli Sunnah adalah perkara tauqif, iaitu samaada ianya diambil daripada al-Quran atau Sunnah yang sahih atau ijma’ umat tentangnya; tidak dibolehkan qias tentangnya.

f)       Rukun Ke-Enam
Rukun ke-6 pula ialah memperihalkan tentang tentang keadilan Ilahi dan kikmat kebijaksanaanNya. ASWJ mengajarkan bahawa Allah menjadikan jisim-jisim dan ‘arad-arad yang baiknya dan yang buruknya semua sekali (kalau sekarang boleh dikatakan Ia menjadikan semua atom-atom, neutronneutron, proton, elektron, quark-quark, serta lain-lainnya seperti yang ada ini semua, sama ada dalam bentuk gelombang atau zarrah, dengan sifat-sifatnya semua sekali).

g)      Rukun Ke-Tujuh
Rukun ke-7 menurut ASWJ pula ialah tentang ajaran hakikat adanya kenabian dan kerasulan serta mereka menegaskan kebenaran adanya para Rasul a.s.s yang diutuskan Allah kepada para hambaNya. Ini berlawanan dengan ajaran Brahminisme (juga golongan materialis dan pascamodernis) yang menafikan itu walaupun mereka percaya kepada Tuhan Yang menjadikan alam.

h)     Rukun ke-Lapan
Rukun ke-8 adalah membincangkan tentang mukjizat dan karamah yang mana bahawa mu’jizat ialah perkara zahir yang menyalahi adat timbul pada seseorang nabi dalam menghadapi kaumnya dan kaumnya lemah untuk menghadapinya, dan ini membenarkan dakwaannya sebagai nabi; maka wajib ditaati nabi yang demikian.

i)        Rukun ke-Sembilan
Rukun ke 9 pula ialah memperihalkan tentang syariah Islam dan rukun-rukunnya. Ahli Sunnah mengajarkan bahawa Islam terdiri daripada lima rukun, iaitu syahadah, perlaksanaan sembahyang lima waktu, pembayaran zakat, puasa Ramadhan, dan ibadat haji ke Baitullahil-Haram

j)       Rukun Ke-Sepuluh
Rukun ke-10 ialah tentang amar makruf dan nahi munkar menurut Islam. ASWJ mengajarkan bahawa perbuatan orang-orang mukallaf terbahagi kepada lima bahagian, iaitu yang wajib, haram, sunat, makruh, dan harus. (Diikuti dengan definisi-definisinya).

k)     Rukun Ke-Sebelas
Rukun ke-11 pula membicarakan tentang hilangnya para hamba dan hukum mereka di akhirat. ASWJ mengajarkan Allah berkuasa membinasakan seluruh alam dan membinasakan setengah jisim dan mengekalkan yang lainnya. Mereka mengajarkan bahawa Allah akan mengembalikan semula hayat manusia dan makhluk-makhluk lainnya yang mati di dunia, ini berlawanan dengan golongan yang mengatakan bahawa Allah menghidupkan semula manusia sahaja tidak yang lain-lainnya. Ahli Sunnah mengajarkan bahawa Syurga dan Neraka adalah makhluk yang dijadikan, berlawanan dengan pendapat golongan yang mengatakan bahawa kedua-duanya bukan makhluk. Ahli Sunnah mengajarkan bahawa ni’mat Syurga kekal dan azab Neraka kekal atas ahli-ahlinya yang terdiri daripada mereka yang tidak membawa iman dan yang munafik. Ini berlawanan dengan pegangan mereka yang mengatakan bahawa Syurga dan Neraka tidak kekal, akan
fana.

l)        Rukun Ke-Duabelas
Rukun ke-12 ialah tentang imamah.  Imamah atau khilafah wajib atas umat Islam supaya pihaknya menjalankan hukum dan amanah-amanah, menjaga dan menguatkan kubu-kubu pertahanan, serta menghantar tentera jihad, membahagi-bahagikan fay’ iaitu harta yang didapati bukan melalui peperangan, dan menyelesaikan masalah penzaliman ke atas mereka yang dizalimi. Diikuti dengan syarat-syarat imamah: ilmu, keadilan dan bangsa Quraisy.

m)   Rukun Ke Tigabelas
Rukun ke-13 pula ialah tentang iman dan Islam. Mereka mengajarkan asal iman ialah ma’rifah, tasdiq (pembenaran) dengan hati. Mereka mengajarkan wajib taat dalam perkara yang wajib dan sunat dalam perkara yang sunat. Ahli Sunnah mengajarkan keimanan tidak hilang dengan berlakunya dosa, tetapi hilang dengan berlakunya kekufuran. Dijauhkan Allah. Orang yang berdosa dia mu’min, bukan kafir, walaupun ia menjadi fasik kerana dosanya. Ahli Sunnah mengajarkan tidak halal membunuh orang mu’min melainkan kerana salah suatu daripada yang tiga: murtad, zina selepas kahwin, atau hukum qisas kerana orang itu membunuh orang. Ini berlawanan dengan golongan Khawarij yang mengharuskan.

n)     Rukun Ke-Empatbelas
Para wali dan imam-imam pula menjadi rukun yang ke-14 di dalam pegangan sunni. Ahli Sunnah mengajarkan para malaikat maksum daripada semua dosa berdasarkan ayat yang bermaksud: ”Mereka tidak derhaka terhadap Allah tentang perkara yang diperintahkan kepada mereka dan mereka lakukan apa yang disuruh” ( Surah al-Tahrim ayat 6).

o)      Rukun Ke-Limabelas
Rukun ke-15 ialah memperihalkan tentang hukum para musuh Islam. Ahli Sunnah mengajarkan: Para musuhnya ada dua: yang sebelum Islam dan yang lahir zaman Islam dan yang menunjukkan secara zahirnya mereka orang Islam. Mereka yang sebelum Islam terdiri daripada pelbagai golongan: para penyembah berhala dan patung. Pada Ahli Sunnah mereka yang menyembah berhala, manusia, dan malaikat, bintang, api, dan sebagainya haram berkahwin dengan wanita mereka. Tentang jizyah boleh diterima daripada Ahlil-Kitab dan mereka yang ada sesuatu kitab seperti Ahlil-Kitab. Ini termasuk golongan Materialist klasik dahriyah yang mengajarkan alam ini kadim. Termasuk juga golongan yang mengajarkan kadim benda awal alam (hayula al-‘alam). Termasuk golongan ahli falsafah yang mengajar alam ini kadim dan mereka menolak adanya Tuhan Maha Pencipta; antara, mereka ialah Pythagoras. (Antara ahli sains moden tidak sedikit yang materialist dan menolak adanya Tuhan dan alam rohani). Muslimin bersepakat bahawa semua golongan tersebut tidak boleh dimakan sembelihan mereka dan wanita mereka tidak boleh dikahwini oleh Muslimin. (Diikuti dengan pendetailan hukum tentang jizyah dari mereka, perkahwinan dengan wanita mereka dan sebagainya).

3.2       Keperluan Ilmu-ilmu Lain
Dr Muhammad ‘Uthman El-Muhammady dengan ringkasnya menjelaskan bahawa keperluan ilmu lain di dalam Dunia Melayu Sunni sehingga masa kini ditentukan sifat-sifatnya oleh beberapa ciri pokok: Akidahnya Ahli Sunnah Wal Jamaah berdasarkan kepada ajaran Imam Abul-Hasan al-Asy’ari rd walaupun sekarang ada pihak yang mencabarnya dan hendak menggantikannya dengan sesuatu yang lain dengan pelbagai alasan bidaah dan sebagainya. Ini perlu diteruskan dengan tambahan-tambahan seperlunya samaada dalam hubungan dengan fahaman-fahaman klasik dan tradisional yang tidak benar atau aliran-aliran baharu moden yang perlu diberi huraiannya dalam perspektif. Dari segi kefahaman tentang Hukum Syara’ dan perlaksanaannya ianya berpandukan kepada mazhab Syafi’i. Ini perlu diteruskan dengan tambahan-tambahan seperlunya yang terdiri daripada keputusan-keputusan atau fatwa-fatwa baharu yang diperlukan kerana perkembangan masa dan budaya.

4.1       Kesimpulan
Kesimpulannya bolehlah dirumuskan bahawa risalah yang ditulis oleh Dr Muhammad ‘Uthman El-Muhammady ini ialah memperihalkan tentang aspek epistémologi iaitu teori tentang pengetahuan, terutamanya yg berkaitan dgn kajian kritis tentang kesahihan, kaedah, dan skop ASWJ untuk mengangkis pahaman pasca moden yang menyerang pemikiran umat Islam yang selama ini berpegang teguh dengan pendirian ASWJ aliran Asy’ari dan mazhab fiqh pula ialah mazhab aliran Imam al-Syafie. Ringkasnya, Ahli Sunnah mengajarkan bahawa orang-orang yang menunjukkan amalan dan pegangannya dalam Ahli Sunnah ialah mereka yang bebas daripada amalan-amalan dan pegangan-pegangan golongan-golongan yang terkeluar daripada Islam, dan yang terdiri daripada mereka yang mengikut hawa nafsu, walaupun mereka dinisbahkan kepada Islam seperti Qadariah, Murjiah, Syiah Rafidah, Khawarij, Jahmiah, Najjariah dan Mujassimah.



Rujukan

Al-Qur’an dan Terjemahan

Asmadi Mohamed Naim. 2009, December 23. Golongan Ahlussunnah menurut Imam al-Baghdadi. Utusan Malaysia,. Kuala Lumpur.

Kamus Dewan. 2013. Kamus Dewan hlm.Edisi Ke-3. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

Kate Chambers Seelye. 1920. Moslem Schisms And Sects. (Richard Gottheil, Ed.). New York: Colombia University Press.

Muhammad Uthman el-Muhammady. 2011. Ahli Sunnah Wal Jamaah Penyerapan Unsur - Unsur Akidah yang Mengelirukan Dalam Masyarakat Islam di Malaysia. Johor Bahru: Majlis Agama Islam Johor.